“Sirih pulang ke gagang.” — Begitulah ungkapan yang paling tepat untuk diungkapkan setelah kembalinya Fadzli Mohamad Kamal, anak jati Dong, ke pangkuan masyarakat sebagai wakil rakyat dan pemimpin negeri. Saban hari, kehadiran beliau sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong bagaikan pulangnya seorang anak yang tidak pernah lupa asal usul.
Bagi penduduk Dong, keberadaan Fadzli bukan satu kebetulan politik, tetapi satu keberuntungan yang nyata.
Beliau bukan hanya tahu selok-belok kawasan, tetapi juga memahami jiwa dan denyut nadi masyarakat kerana itulah tempat beliau dibesarkan, di situlah akar dirinya.
Berjiwa Desa, Berperanan Besar
Baru-baru ini, beliau menyertai Pesta Menjala Sungai Dong, satu aktiviti kampung yang sudah menjadi budaya masyarakat setempat.

Di mata orang luar, menjala mungkin seperti aktiviti biasa. Namun bagi Fadzli, ia adalah cara paling tulus untuk bersama rakyat, bukan sekadar turun, tetapi turut serta menebar, mandi dan menyelam bersama-sama lebih 130 peserta.

FADZLI MOHAMAD KAMAL
Usia: 45 tahun
Pendidikan Rendah/Menengah:
SK Mahmud Raub (Tahun 1987 hingga 1992)
SMK Dato Shahbandar Hussain, Raub (Tahun 1993 hingga 1997)
SMK Mahmud Raub (Tahun 1998 hingga 1999)
Pendidikan Tinggi:
Ijazah Sarjana Muda Kepujian di Universiti Sains Malaysia (Tahun 2003)
Jawatan:
ADUN Dong dari parti UMNO/BN (2022)
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang (2022)
Kerjaya dahulu:
Setiausaha Akhbar
Laksana ikan di air, beliau tidak pernah kekok dalam menyatu dengan suasana kampung. Tiada protokol berlebihan, tiada garis pemisah antara pemimpin dan rakyat. Dikerumuni pelbagai lapisan masyarakat setempat tanpa batas usia seolah-olah sebati dengan diri beliau.
“Saya gemar untuk turun padang menyertai program masyarakat, menziarahi penduduk, bergaul dengan orang kampung, mendengar permasalahan mereka serta menghadiri aktiviti sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana saya percaya kehadiran fizikal dan bersemuka sebegini membuka ruang kepada saya untuk mendengar, mengumpul maklumat, membantu dan membina kepercayaan langsung dengan masyarakat setempat” jelas beliau ketika ditemui di Pesta Menjala Sungai Dong, Raub, baru-baru ini.
Sebagai Pengerusi Jawatankuasa yang memegang portfolio Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan NGO, Fadzli tidak menjadikan pejabat sebagai batas perkhidmatannya.
Beliau sentiasa jadikan aktiviti turun padang sebagai rutin serta komitmen untuk bersama rakyat. Bersama-sama bermain bola sepak, berlari, mendaki, memasak, bergotong-royong, bukan sebagai acara seremonial, tetapi sebagai satu cara hidup.
Acapkali seusai apa jua program turun padang, beliau sering mengungkapkan iltizamnya untuk mendorong masyarakat khususnya anak muda untuk membudayakan gaya hidup sihat dan aktif.
Beliau juga memainkan peranan penting dalam memperkasa pembangunan sukan di peringkat negeri antaranya penaiktarafan stadium, pembinaan gelanggang dan padang baharu, serta pengiktirafan Padang Stadium Darul
Makmur sebagai padang rumput asli pertama di Malaysia daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), melalui Program Kualiti FIFA Permukaan Padang Semulajadi.
Namun sumbangan beliau tidak hanya pada fizikal. Fadzli turut aktif menyantuni warga emas, ibu tunggal, pesakit kronik dan orang kurang upaya (OKU), melalui ziarah rumah ke rumah. Beliau memilih untuk melihat, mendengar, dan memahami sendiri kerana bagi beliau.
Tradisi Disemai, Digital Dimajukan
Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, beliau juga proaktif dalam meningkatkan capaian internet di luar bandar. Tinjauan beliau bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ke Kampung Gusai, kampung paling hujung di Jerantut selama tiga hari untuk menyelesaikan isu capaian internet di Mukim Hulu Tembeling membawa kepada langkah-langkah penambahbaikan termasuk naik taraf jalur lebar dan pemantauan stesen pemancar supaya rakyat desa juga mampu menikmati manfaat teknologi moden.
“Kemajuan tidak boleh hanya milik bandar. Kita mahu seluruh negeri bergerak ke hadapan bersama-sama,” katanya tegas.
Rakyat Dong Tidak Salah Pilih
Sirih pulang ke gagang bukan hanya simbol kepulangan, tetapi permulaan kepada khidmat yang lebih bermakna. Dalam diri Fadzli, penduduk Dong melihat seorang pemimpin yang bukan hanya memimpin, tetapi bersama-sama mereka dari sungai ke padang, dari dapur ke dewan.
Bagi rakyat Dong, mereka tidak sekadar mempunyai seorang wakil rakyat. Mereka memiliki seorang pemimpin yang hidup bersama mereka, memahami mereka, dan bekerja untuk mereka. ‘Bagai aur dengan tebing, saling melindungi dan menguatkan’ begitulah hubungan antara Fadzli dan masyarakat yang diwakilinya. – UTUSAN










