PETALING JAYA: Gerakan Reset Malaysia (Reset) menyerahkan memorandum kepada Majlis Raja-Raja agar memperkenan cadangan penstrukturan semula Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan mahu tiada penglibatan campur tangan politik.

Pengarahnya, Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, gerakan itu kecewa dengan pelantikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri.
Katanya, ia berbeza dengan cadangan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa MPN seharusnya diketuai dan dianggotai pakar-pakar kesihatan serta profesional.
“Penubuhan semula MPN dengan watak sama dan diberikan jawatan bertaraf menteri adalah sesuatu yang cukup mengecewakan sedangkan MPN yang dicadangkan Tun (Mahathir) perlu dianggotai semua pakar dalam bidang masing-masing dan mereka berkhidmat secara percuma.
“Kami melihat perlunya kepentingan penstrukturan semula dan mohon Raja-raja Melayu bertindak dan masuk campur urusan ini,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad hari ini.
Minggu lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali memaklumkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri dengan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 September lalu dan pelantikan itu telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong.
Dalam pada itu, Ketua Sekretariat Reset, Nurul Ashikin Mabahwi berkata, pelatikan individu yang terbukti gagal sebagai Pengerusi MPN sebelum ini amat mengecewakan semua pihak khususnya rakyat yang menuntut perubahan dasar pentadbiran dalam mengawal penularan wabak Covid-19.
“Muhyiddin telah pun gagal ketika jadi pengerusi MPN sebelum ini, jadi kita tak nampak sebab kenapa kita perlu letakkan seorang pengerusi yang telah pun gagal sebelum ini mentadbir negara sewaktu pandemik sebagai pengerusi MPN sekali lagi.
“Sebab itu kita di Reset Malaysia bersama dengan 116 NGO lain menuntut seorang pengerusi yang terbukti memimpin negara sewaktu pandemik untuk ketuai MPN dan kami cadangkan Mahathir sebagai pengerusi MPN,” katanya. – UTUSAN ONLINE










