PUTRAJAYA : Majlis Pemulihan Negara (MPN) menjangka aktiviti rentas negeri boleh dinikmati rakyat selewat-lewatnya pertengahan bulan depan.
Perkara itu diumumkan Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan mesyuarat MPN hari ini.
Muhyiddin berkata, sekiranya aktiviti rentas negeri dibenarkan kelak, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Jadi saudara bolehlah merayau atau pergi mana-mana seluruh Malaysia ini, tetapi sentiasa ingat SOP,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, MPN juga mencadangkan kepada kerajaan supaya memperhalusi segera isu pembukaan sempadan negara kerana ia penting bagi mempercepatkan proses pemulihan negara.
“Ia satu keputusan besar yang perlu difikirkan dan dipertimbangkan kerajaan. Saya ada bangkitkan isu ini pada mesyuarat tadi (hari ini) dan ia kini sedang diperhalusi menteri terlibat untuk dibincangkan minggu ini.
“Isu pembukaan sempadan negara itu akan turut diteliti dan dibincangkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan MPN menjangkakan keputusan pembukaan sempadan negara akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.
Muhyiddin berkata, MPN turut melihat kewajaran sempadan negara dibuka kerana ia membolehkan rakyat keluar melancong ke negara yang menerima individu lengkap divaksinasi.
Kata beliau, apabila sempadan negara dibuka, ia juga membolehkan pelawat, peniaga, usahawan dan pelancong datang ke Malaysia.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, mesyuarat hari ini meluluskan cadangan untuk menubuhkan Majlis Pemulihan Negeri yang akan berperanan memastikan keputusan MPN dilaksanakan di peringkat negeri.- UTUSAN ONLINE










