SEPANG: Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) yang terletak di Subang, Selangor dipindahkan ke lokasi baharu di Sepang, semalam apabila ruang udara baharu distruktur semula menjadi 14 sektor berbanding tujuh sebelum ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pemindahan ini dilakukan pada pukul 2 pagi hari ini sekali gus menjadi detik bersejarah bagi industri penerbangan negara.
“Struktur baharu ini dilengkapi dengan penambahan laluan udara baharu serta pelepasan dan ketibaan yang menepati piawaian yang ditetapkan.
“Penambahbaikan ini adalah bertujuan meningkatkan pendapatan negara melalui pengembangan industri penerbangan,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini.
Beliau berkata, pemindahan operasi struktur ruang udara baharu ini menjadi sebahagian daripada usaha berterusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menyeragam dan mematuhi piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dalam reka bentuk Maklumat Penerbangan Ruang Udara Kuala Lumpur (KL FIR).
“Dengan pembinaan KL FIR baharu ini, ia akan membolehkan lebih banyak pesawat mendarat pada waktu puncak atau slot premium dan seterusnya meningkatkan kapasiti pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari 78 kepada 108 pesawat sejam dan jumlah ini adalah antara yang tertinggi di dunia.
“Selain itu, reka bentuk ruang udara yang baharu ini juga membolehkan lebih banyak pergerakan pesawat setiap jam dengan memanfaatkan sepenuhnya tiga landasan yang terdapat di KLIA secara serentak,” katanya.
Menurut beliau, struktur ruang udara yang serba baharu akan menyediakan pengurusan lalu lintas di ruang udara yang lebih efisien dan lancar, meningkatkan kecekapan Sistem Pengawasan serta Sistem Komunikasi dan Navigasi KL FIR bagi membolehkan pelaksanaan Navigasi Berasaskan Prestasi (PBN).
“Selain itu, ia juga akan meningkatkan daya saing Malaysia dalam industri penerbangan dengan meningkatkan ketersediaan dan hubungan industri penerbangan awam negara.
“Dengan rekaan berbentuk layang-layang tradisional tempatan atau wau bersama sentuhan moden, KLATCC baharu ini adalah tonggak penting bagi industri penerbangan awam negara dan akan menjadi kebanggaan Malaysia.
“Majlis pelancaran rasmi akan diadakan pada waktu yang sesuai dalam masa terdekat,” katanya.










