GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang digesa menjelaskan langkah-langkah pencegahan yang bakal diambil dalam mengekang penularan varian Delta Covid-19 di negeri ini.
Pengerusi Gerakan negeri, Oh Tong Keong berkata, kerajaan negeri tidak boleh mengambil lewa dan memandang ringan penularan varian Delta yang mana setakat 29 Ogos lalu, sebanyak 31 melibatkan varian itu dilaporkan di Pulau Pinang.
Jelas beliau, situasi itu menunjukkan penularan varian tersebut adalah serius sekali gus langkah pencegahan perlu diambil secepat mungkin.
“Adakah kerajaan negeri akan memperketatkan kawalan keselamatan di kawasan zon merah termasuk mengawal aliran penduduk di kawasan-kawasan terbabit?
“Kerajaan negeri tidak boleh bersikap dingin dalam menangani isu ini kerana kita bimbang wabak ini akan terus merebak ke seluruh negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Tong Keong yang juga Timbalan Presiden Gerakan Pusat, data daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan kawasan perindustrian merupakan kawasan utama yang mana varian Delta itu didapati merebak.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri bertindak agresif dan proaktif dalam mengawal keselamatan dan memastikan kesihatan awam di kawasan-kawasan tersebut.
“Kerajaan negeri perlu memandang serius isu ini dengan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memutuskan rantaian penularan varian Delta sebelum keadaan Covid-19 di Pulau Pinang menjadi tidak terkawal.
“Apatah lagi kes positif harian di Pulau Pinang ketika ini juga mencatat angka yang tinggi dalam lingkungan 1,000 kes hingga 2,000 kes dan keadaan ini sangat membimbangkan penduduk,” katanya.