Program jangkauan luar kesan individu belum divaksin di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Program jangkauan luar kesan individu belum divaksin di Pulau Pinang

NORLELA ARIFFIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan melaksanakan program jangkauan luar  (outreach) vaksinasi Covid-19 secara berterusan bagi memastikan sasaran 80 peratus penduduk negeri itu divaksin dapat dicapai. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, terdapat sekitar 4.4 peratus populasi dewasa yang belum menerima vaksin dan mereka akan dikesan menerusi program berkenaan. 

“Mungkin ada di antara mereka yang mempunyai masalah kesihatan, tiada kenderaan atau ada isu-isu lain yang membuatkan mereka tidak dapat menerima vaksin, jadi kita akan cuba bantu mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Menurutnya, sebelum ini lebih 14,000 individu juga telah menerima vaksin Covid-19 menerusi program outreach di lima daerah di negeri itu. 

“Program jangkauan luar ini turut dilaksanakan di kediaman mereka yang terlantar sakit serta di pusat jagaan warga emas. 

“Sebanyak 405 individu yang terlantar sakit telah berjaya divaksin di rumah manakala 2,920 penghuni serta 1,497 kakitangan di 145 pusat jagaan warga emas turut menerima vaksin menerusi program jangkauan luar,” katanya. 

Tambahnya, mana-mana warganegara atau bukan warganegara juga digalakkan menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara datang terus (walk-in) sekiranya masih belum menerima vaksin. 

Dalam pada itu, Norlela berkata, setakat ini kira-kira 59.1 peratus populasi dewasa di negeri ini telah melengkapkan dos vaksin mereka manakala 73.4 peratus pula sudah menerima satu dos vaksin.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN