PPV walk in bukan warganegara bermula Jumaat ini di Pulau Pinang

PPV walk in bukan warganegara bermula Jumaat ini di Pulau Pinang

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pulau Pinang mengambil insiatif membuka pusat pemberian vaksin (PPV) secara walk-in untuk golongan bukan warganegara bermula Jumaat ini (17 September).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif itu membabitkan empat PPV iaitu satu PPV di kawasan pulau (SPICE Convention Centre) manakala tiga lagi iaitu Dewan Milenium; SP Arena dan
Dewan Serbaguna Sungai Bakap adalah di kawasan Seberang Perai.

“Inisiatif walk-in akan dibuka untuk golongan bukan warganegara bermula Jumaat ini dan permulaan walk-in bagi bukan warganegara di empat PPV tersebut adalah bermula pada pukul 2 petang setiap hari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Pulau Pinang telah melaksanakan suntikan vaksin Covid-19 secara walk in khusus kepada penduduk negeri itu yang belum menerima janji temu suntikan vaksin.

Menurut Kon Yeow, sehingga semalam, seramai 9,011 individu (populasi dewasa, warganegara) telah menerima vaksin secara walk-in membabitkan 10 PPV yang dibuka sejak 8 September lalu.

“Malah, mereka yang terlepas janji temu dos kedua juga adalah dialu-alukan untuk walk-in ke mana-mana PPV tersenarai bagi melengkapkan dos suntikan,” katanya.

Tambahnya, mengikut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sehingga semalam populasi dewasa bagi Pulau Pinang masih berbaki 116,403 individu yang masih belum memperoleh sebarang suntikan daripada jumlah keseluruhan 1,384,600 orang.

“Bagaimanapun, jumlah baki tersebut termasuk mereka yang telah mendapatkan suntikan secara berbayar (atas inisiatif sendiri) di klinik-klinik dan hospital-hospital swasta berdaftar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pusat Panggilan Covid-19 kerajaan negeri Pulau Pinang memulakan operasi hari ini dengan nombor panggilan, 04-2618000.

“Masa beroperasi kini adalah dari pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap hari, dan bakal ditambah baik pengoperasiannya kepada tempoh 24 jam,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam kalangan remaja akan bermula di negeri ini dalam tempoh terdekat.

“Pihak kementerian sedang memperhalusi proses vaksinasi yang sesuai bagi populasi berusia 18 tahun dan ke bawah malah sesi libat urus melibatkan agensi-agensi berkaitan serta JKNPP telah diadakan dengan harapan pelaksanaannya akan dipercepatkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN