PPS ketiga dibuka di Selangor, keseluruhan 132 mangsa - Utusan Malaysia

PPS ketiga dibuka di Selangor, keseluruhan 132 mangsa

ANGGOTA APM membantu memindahkan penduduk warga emas di Kampung Tanjung Buah-Buahan, Kuala Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Pembukaan sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir seramai 132 orang di Kuala Selangor, setakat ini.

PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasangan itu menempatkan 35 mangsa selepas mula dibuka pukul 9.30 pagi tadi.

Pemangku Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Selangor, Leftenan (PA) Maizura Suradi berkata, pemindahan terbaharu itu melibatkan penduduk di Kampung Tanjung Siam dan Kampung Tanjung Buah-Buahan.

“Semua mangsa banjir berkenaan terdiri daripada 14 keluarga iaitu 14 lelaki dan 21 perempuan. Mereka termasuk 12 kanak-kanak, lapan warga emas dan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas beliau yang juga Seketariat Pengurusan Bencana daerah, jumlah mangsa di Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya, bagaimanapun masih kekal 90 orang.

“Sehingga pukul 5 petang tadi, kesemua 27 keluarga itu ditempatkan di PPS SK Rantau Panjang. Kesemua mangsa termasuk 25 kanak-kanak, 11 warga emas dan masing-masing seorang bayi lelaki dan wanita OKU,” ujarnya.

Tambah Maizura, seramai tujuh penduduk Kampung Parit Mahang, Jeram juga masih ditempatkan di PPS SK Parit Mahang setakat ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, lebih 70 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Selangor bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan kejadian banjir seumpama itu.

“Sejak beberapa hari lalu, anggota kita diberi arahan tambahan selain tugasan hakiki seperti kes ular, musnah sarang serangga atau pokok tumbang.

“Walaupun berdepan sedikit masalah logistik, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk menyalurkan bantuan kepada orang awam terutama mangsa banjir,” katanya.

Kelmarin, hujan lebat berterusan mengakibatkan seramai 48 penduduk Kampung Rantau Panjang terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dilanda banjir.

Pemindahan itu dilakukan selepas rumah penduduk dinaiki air setinggi satu meter atau paras pinggang akibat hujan sejak malam Sabtu lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN