Polis tembak mati dua penjenayah warga asing cuba larikan diri

Polis tembak mati dua penjenayah warga asing

ANGGOTA polis berada lokasi dua penjenayah warga asing maut ditembak di Bukit Mengkuang, Kubang Semang, Bukit Mertajam selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis, awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Dua penjenayah lelaki warga asing maut dalam insiden berbalas tembakan dengan polis berhampiran kawasan semak di Bukit Mengkuang, Kubang Semang di sini, kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, suspek yang menaiki kereta jenis Proton Waja sebelum itu dikejar selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Penanti dekat sini.

Katanya, sebaik sahaja sampai di lokasi kejadian, salah seorang daripada mereka telah melepaskan dua das tembakan ke arah polis ketika seorang lagi rakannya pula cuba menyerang anggota terbabit dengan menggunakan parang.

“Polis juga terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek dalam usaha mereka untuk mempertahankan diri. Bagaimanapun, anggota polis itu bernasib baik kerana tembakan yang dilepaskan gagal mengenai sasaran sebaliknya terkena cermin sisi kereta polis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu katanya, kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan antara 30 hingga 40 tahun itu diburu polis kerana terlibat dalam satu kes ugutan dan melepaskan tembakan di sini, Ahad lalu.

Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata, polis turut menemukan sejumlah dadah jenis heroin serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk memecah masuk rumah di bahagian but belakang kereta Proton Waja yang dinaiki suspek selain sepucuk pistol berisi enam butir peluru serta sebilah parang.

“Semakan terhadap kereta yang dinaiki suspek itu pula mendapati, ia pernah dilaporkan hilang pada 29 Ogos tahun lepas di satu kawasan di Sungai Petani, Kedah,” katanya yang memberitahu, mayat suspek telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini untuk bedah siasat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN