PKR Negeri Sembilan bergolak? - Utusan Malaysia

PKR Negeri Sembilan bergolak?

AMINUDDIN Harun ketika ditemui pemberita sebelum beliaumenghadiri Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14 hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: PKR Negeri Sembilan kini dikatakan bergolak selepas terdapat usaha menggantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun daripada jawatannya itu.

Timbalan Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk M. Ravi berkata, terdapat cadangan sebelum ini supaya jawatan Pengerusi MPN itu diserahkan kepada individu lain tetapi Aminuddin kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Cadangan itu bertujuan  mengukuhkan parti kerana saya nampak Menteri Besar perlu fokus kepada ekonomi negeri. Tugas-tugas beliau berat, sebab itu saya dan beberapa orang lagi memang ada cadangan untuk menggantikan Pengerusi MPN negeri bagi kukuhkan parti terutama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Memang ada cadangan itu sebelum ini, memang saya sendiri mengakui ada menandatangani SD  (akuan bersumpah) dan beberapa rakan lain. Kita mahu hantar kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi cadangan itu belum dapat diteruskan dan tergendala disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Negeri dekat sini hari ini.

M. Ravi dan Mohamad Rafie ketika ditemui pemberita di Wisma Negeri, Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung diminta mengulas mengenai penyebaran kenyataan daripada Penerangan PKR Negeri Sembilan yang menyatakan hilang kepercayaan kepada Aminuddin atas beberapa sebab dan satu rombakan perlu dilakukan terhadap pengurusan MPN Negeri Sembilan.

Nama Ravi sebagai Ketua Cabang Port Dickson turut dikaitkan dalam kenyataan bersama itu selain antaranya Ketua Cabang Rasah, Datuk Ismail Ahmad dan Timbalan Ketua Cabang Seremban, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek.

Kedua-dua mereka adalah ADUN PKR di Labu dan Ampangan dan masing-masing merupakan Exco Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.

Ravi bagaimanapun menyifatkan penyebaran kenyataan tersebut sebagai salah guna kuasa kerana cadangan itu hanya di peringkat dalaman parti di negeri ini dan bukan untuk dihebohkan kepada umum.

“Ini hanya perbincangan sahaja, tetapi semalam saya lihat ada kenyataan yang keluar yang menyatakan saya sokong untuk menjatuhkan dan tidak percaya kepada pemimpin tertinggi negeri, saya memang tidak setuju.

“Isu ini adalah hal dalaman parti, tetapi jika perkara ini keluar dan tular, memang saya tidak bersetuju kerana ia tidak dibincang terlebih dahulu. Perkara ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan nama parti untuk hadapi PRU-15, minggu ini kita akan buat satu mesyuarat khas tertutup bagi membincangkan perkara ini,” katanya.

Dalam kenyataan yang tersebar tersebut, Ketua Penerangan PKR Negeri, Yusuf Tapar berkata, rombakan segera perlu dilakukan dalam MPN Negeri Sembilan bagi memastikan parti itu kekal relevan.

Dakwa mereka, Pengerusi MPN negeri tidak melakukan sebarang penyusunan dan koordinasi yang berkesan untuk menarik sokongan pengundi terutamanya di kawasan-kawasan DUN yang perlu diberi tumpuan dan keutamaan.

“Selaku Pengerusi MPN, beliau gagal dalam memimpin dan memperkasakan cabang serta ahli parti sehingga menyebabkan hilangnya keyakinan ahli serta penggerak parti di akar umbi.

“Pengerusi MPN gagal mengurus dan menyelesaikan masalah cabang dengan memberikan solusi terbaik, sehingga beberapa keputusan tidak mengikut perlembagaan parti,” katanya.

Sementara, Aminuddin ketika ditemui pemberita enggan mengulas lanjut mengenai situasi terkini yang berlaku.

“Saya tiada masalah, tanya kepada mereka yang membuat kenyataan tersebut,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN