KOTA BHARU: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, di sini disasar dapat menampung sehingga empat juta penumpang setahun apabila projek menaik taraf dan pembesarannya selesai, menjelang pertengahan 2024.
Selepas berwajah baharu, LTSIP yang merupakan pintu udara domestik ketiga tersibuk selepas Miri di Sarawak dan Subang (Selangor) dengan 25 penerbangan sehari, sedia menjadi lapangan terbang antarabangsa semula.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, skop utama projek bernilai RM440 juta itu merangkumi pembesaran terminal, balai ketibaan dan pelepasan sedia ada yang kini hanya mampu menampung 1.5 juta penumpang setahun.
Selain itu katanya, penambahbaikan turut dilakukan pada infrastruktur dan pelbagai kemudahan lain, termasuk menambah bilangan tempat letak kenderaan kepada 1,300 petak, berbanding sekarang hanya terhad 300 petak.
“Sebenarnya sebelum ini pun, LTSIP pernah ada penerbangan antarabangsa seperti ke Singapura dan Indonesia namun disebabkan kekangan dan kurang permintaan, operasi dihentikan sebelum laluan antarabangsa akhirnya ditutup.
“Selepas ini kita bersedia jadi lapangan terbang antarabangsa sekali lagi. Sekarang kita sudah ada penerbangan ke Kuching dan Kota Kinabalu yang banyak membantu pelajar dan mereka yang bekerja di sana,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Terdahulu, beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd. Nor turun pandang meninjau perkembangan terkini kerja-kerja menaik taraf LTSIP.
Dalam perkembangan berkaitan, Mustapa berkata, semua projek infrastruktur di negeri ini akan dipastikan berjalan mengikut jadual, selaras dengan titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sempena istiadat pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), baru-baru ini.
Kata Ahli Parlimen Jeli itu, kontraktor dilantik bagi mengendalikan projek di seluruh Kelantan, termasuk projek menaik taraf LTSIP telah diberi peringatan supaya mengambil serius titah baginda dengan memberi komitmen terbaik terhadap tugas masing-masing.
“Bagi projek LTSIP, kita menaruh harapan tinggi terhadap kontraktor yang dipilih memandangkan mereka berpengalaman luas dalam skop ini. Antaranya pembinaan lapangan terbang di Qatar serta KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur).
“Sebabnya, ini harapan seluruh rakyat Kelantan. Sudah lama mereka tunggu,” katanya.