PGA Briged Utara rampas arak, rokok seludup lebih RM2 juta - Utusan Malaysia

PGA Briged Utara rampas arak, rokok seludup lebih RM2 juta

MOHD. Noh Khamis (tengah) menunjukkan menunjukkan rokok yang dirampas dalam serbuan sebuah premis di Jalan Stesen, Tapah, Perak, hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas pelbagai jenis minuman keras dan rokok seludup bernilai lebih RM2 juta dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Stesen, di sini hari ini.

Dalam Op Kontraband oleh Cawangan Risik Briged Utara pada pukul 2.15 pagi itu, dua lelaki berusia 51 tahun  dan 59  tahun ditahan.

Timbalan Komander Briged Utara, Asisten Komisioner Mohd. Noh Khamis berkata, berdasarkan serbuan tersebut, pihaknya merampas 4,105 karton rokok pelbagai jenama, 38,628 tin arak dan 3,421 botol minuman keras.

Katanya, sebahagian barang yang dirampas itu disembunyikan dalam sebuah lori dan trak pikap manakala selebihnya di dalam premis yang dijadikan sebagai gudang penyimpanan.

“Serbuan ini dijalankan hasil daripada pemantauan dan risikan selama sebulan. Berdasarkan siasatan, kedua-dua suspek aktif menjalankan kegiatan itu sejak enam bulan lalu.

“Siasatan juga mendapati barang seludup bernilai RM2,026,481.86 itu diambil dari Lembah Klang untuk diedarkan ke kawasan perkampungan Orang Asli dan kedai runcit di Bidor, Kampar, Tapah, Teluk Intan dan Cameron Highland,” katanya dalam sidang akhbar di Batalion 3 PGA Senoi Praaq Kem Bidor, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Noh, kumpulan terbabit dipercayai menyembunyikan kegiatan mereka dengan berselindung di sebalik penghantaran barang perkakasan menggunakan lori dan trak pikap.

“Modus operandi sindiket itu dengan berselindung di sebalik penghantaran timbunan paip polyvinyl chloride (PVC) di mana mereka meletakkan barang-barang seludup di bahagian belakang kenderaan.

“Tujuan mereka adalah untuk mengaburi pihak berkuasa semasa pemeriksaan mahupun sekatan jalan raya (SJR),” katanya.

Tambah beliau, semakan mendapati, kedua-dua suspek yang merupakan rakan itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk tindakan lanjut.

“Siasatan ke atas suspek dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 20(1) dan Seksyen 74(1) Akta Eksais 1976,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya