Perbicaraan kes Peter Anthony selesai - Utusan Malaysia

Perbicaraan kes Peter Anthony selesai

PETER ANTHONY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pihak pendakwaan dalam kes pemalsuan dokumen melibatkan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony menutup kesnya di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas 15 saksi selesai dipanggil memberi keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu demikian kepada Hakim Azura Alwi selepas dua saksi pendakwaan dipanggil semula untuk memberi keterangan.

Terdahulu, Wan Shaharuddin memaklumkan, pihak pendakwaan menawarkan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd. Yusizuddin Mohd. Yusof bagi saksi kepada pihak pembelaan.

Pada masa sama Azura turut memerintahkan pihak pendakwaan memfailkan hujahan sebelum atau pada 8 Oktober ini manakala 18 Oktober ini hujahan balasan bagi pihak pembelaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Oktober ini untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan.

Hujahan itu adalah sebelum memutuskan sama ada Peter dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintahkan untuk membela diri.

Sebelum ini, semasa prosiding perbicaraan berlangsung, antara saksi-saksi pendakwaan nama-nama besar yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak; bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Mengikut pertuduhan Peter, 50, sebagai Pengarah Urusan Asli Jati didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya