Penyertaan wanita dalam Parlimen akan dibincang dengan parti politik

[Parlimen]: Penyertaan wanita dalam Parlimen akan dibincang dengan parti politik

SITI ZAILAH MOHD. YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usaha 30 peratus penyertaan wanita di Parlimen akan dibawa kepada semua pimpinan parti politik untuk dibincang bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, ini kerana usaha tersebut sehingga hari ini masih lagi gagal meskipun ia telah dirancang sejak 2004 lagi.

“Kita sedang dalam perancangan, insya-Allah, untuk sampaikan kepada kepemimpinan parti politik tentang bagaimana untuk kita capai sasaran itu. Sebab isu ini adalah hasrat semua parti politik, bukan satu parti, semua parti menyokong isu ini,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi nenjawab pertanyaan sama ada perkara ini akan dibawa kepada setiap parti politik memandangkan Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang telah termeterai baru-baru ini.

Tambah Siti Zailah, faktor penyertaan wanita masih lagi tidak mencapai sasaran kerana kurangnya keyakinan masyarakat terhadap golongan berkenaan.

Malah jelas Siti Zailah lagi, faktor ‘winnable candidate’ turut dilihat antara punca penyertaan wanita masih lagi gagal mencapai sasaran.

“Saya memahami setiap parti politik akan meletakkan calon yang boleh memberi kemenangan pada parti dan juga calon yang layak, dan boleh berperanan, mampu berdepan dengan cabaran.

“Sebenarnya yang dicalonkan (dalam Pilihan Raya) ramai, tetapi yang menang tidak ramai. Jadi di sinilah satu cabaran kepada wanita. Seharusnya kita dapat melihat kembali kebaikan yang perlu ditambah baik supaya penglibatan kita sehingga ke peringkat akar umbi.

“Sebenarnya wanita mampu insyaAllah dengan sokongan semua pihak sebab apa yang saya tengok ada YB wanita yang setengahnya lebih baik daripada YB lelaki. Bukan menafikan lelaki ya, tetapi maknanya mereka lebih komited, lebih fokus. Sebenarnya mereka lebih keterampilan, kemampuan, kerja mereka lebih tekun, bukan mereka tidak mampu.

“Tetapi kerana mungkin suasana masyarakat, penerimaan masyarakat yang mungkin merasakan wanita ni tidak mampu hadapi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN