fbpx

Penolong pegawai perubatan dipenjara dua bulan, denda RM17,500

MOHD. Zamry Yazid dijatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM17,500 oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Padah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan melalui syarikat adik sendiri, seorang penolong pegawai perubatan dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM17,500 oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan itu, tiga tahun lalu. 

Hakim, Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd. Zamry Yazid, 46, yang membuat pengakuan tersebut sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Perubatan di Pejabat Daerah Kesihatan (PKD) Jasin didapati telah menggunakan kedudukan dan jawatan untuk mendapatkan suapan. 

Tertuduh telah terlibat dalam permohonan pembekalan, penyediaan sebut harga dan memperakukan tuntutan bayaran kepada Syarikat Pella Maju Enterprise iaitu milik adiknya bagi pembelian barang perubatan berupa kertas ultra bunyi bagi klinik-klinik kesihatan bernilai RM3,500.

Tindakan itu dilakukan tertuduh di PKD Jasin pada 18 Oktober 2018. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama. 

Sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, peguam Mohd. Zulfiqri Zakaria memohon agar hukuman anak guamnya diringankan dengan alasan tertuduh menjaga ibunya yang telah lumpuh dan adik perempuannya pula orang kurang upaya (OKU) terencat akal yang memakai lampin pakai buang. 

Tertuduh juga telah berkhidmat selama 23 tahun dan mendapat anugerah cemerlang sebanyak dua kali, selain telah insaf dengan perbuatannya. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwanshah Abdul Samat memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat. 

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda sebanyak RM17,500 atau tambahan enam bulan penjara jika gagal bayar. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI