KUALA TERENGGANU: Semua pengusaha kantin di negeri ini perlu memastikan setiap pekerja mereka melengkapkan dua dos vaksinasi menjelang sesi persekolahan secara bersemuka pada Ahad ini.
Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kebangsaan, Mohamad Ropaat Khamid berkata, langkah itu bertujuan menjamin keselamatan pelajar di kesemua 456 buah sekolah di seluruh Terengganu.
Bagaimanapun, katanya, berdasarkan maklum balas diterima, kadar vaksinasi pekerja sokongan masih lagi rendah ketika ini di samping berdepan kesukaran mengesan golongan yang belum menerima perlindungan tersebut.
“Program vaksinasi remaja berumur 16 dan 17 tahun di Terengganu sudah di penghujungnya dan berjalan lancar manakala bilangan guru lengkap vaksinasi pula melebihi 90 peratus.
“Jadi, saya berharap operator kantin dapat bertindak proaktif dalam memastikan pekerja mereka mendapat dua dos vaksin Covid-19 dan cukup tempoh 14 hari vaksinasi sebelum mula bekerja,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman di Jabatan Pendidikan negeri, di sini hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sesi pembukaan sekolah secara fizikal akan dibuka mulai 3 Oktober ini.
Pembukaan itu bagaimanapun hanya akan dilaksanakan di negeri-negeri di bawah Fasa Ketiga dan Keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan kapasiti kehadiran murid 50 peratus bagi setiap sesi. – UTUSAN