Pengusaha dobi perlu lesen gas sah - Suruhanjaya Tenaga

Pengusaha dobi perlu lesen gas sah – Suruhanjaya Tenaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana pengusaha dobi di Semenanjung Malaysia dan Sabah yang menggunakan sistem gas berpaip terutamanya gas petroleum cecair (LPG) untuk mesin pengering dan pemanas air di kedai dobi perlu mendapatkan kelulusan dan lesen gas sah daripada Suruhanjaya Tenaga (ST).

ST dalam kenyataan akhbar menjelaskan, ini bagi memastikan reka bentuk sistem gas berpaip di premis dipasang mengikut piawaian ditetapkan serta dapat dikendalikan dengan selamat.

Menurutnya, pada masa ini masih terdapat pengusaha dobi kurang kesedaran atau mengabaikan keperluan undang-undang dan pematuhan piawai keselamatan yang ditetapkan hingga menyebabkan berlakunya kes kemalangan, kebakaran atau letupan disebabkan kebocoran gas.

“Ini termasuk kes kemalangan melibatkan letupan gas di premis dobi di Taiping, Perak pada Mei lalu apabila seorang pengguna tercedera. Daripada siasatan awal pihak ST, premis dobi tersebut beroperasi tanpa kelulusan dan lesen sah daripada pihak ST,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, ST menegaskan, kegagalan dan keingkaran mendapatkan kelulusan dan lesen gas dari ST adalah melanggar Akta Bekalan Gas 1993 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 1997.

“Kegagalan mematuhi Subseksyen 11(1) Akta Bekalan Gas 1993 boleh menyebabkan pengusaha dobi didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

“Mereka juga boleh didenda selanjutnya sehingga RM1,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas sabitan. Mana-mana sistem perpaipan atau bahagiannya yang digunakan atau dicadangkan hendak digunakan dalam melakukan kesalahan itu juga boleh dilucuthakkan,” ujarnya.

Justeru, ST sentiasa melakukan operasi penguatkuasaan di kedai dobi yang beroperasi tanpa lesen sah dan tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pengusaha kedai dobi yang gagal mematuhi kehendak undang-undang.

Mengulas lanjut, bagi meningkatkan kefahaman mengenai keselamatan sistem gas berpaip dan kesedaran terhadap keperluan undang-undang serta pematuhan piawaian keselamatan dalam kalangan pengusaha dobi, pihak kontraktor gas, orang kompeten gas, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan, ST buat pertama kalinya menganjurkan Webinar Keselamatan Sistem Gas Berpaip pada 25 Ogos lalu.

“Melalui webinar ini, peserta diberi pendedahan tentang keperluan perundangan dan piawaian dari aspek keselamatan sistem gas berpaip, garis panduan sistem gas berpaip di kedai dobi, keperluan pelesenan pepasangan gas, aktiviti penguatkuasaan sistem gas berpaip dan keperluan pendaftaran peralatan gas,” katanya.

Sementara itu, ST mengingatkan orang ramai atau pengguna dobi supaya mematuhi langkah-langkah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini dan mereka boleh membuat aduan sekiranya mendapati kedai dobi beroperasi tanpa lesen dan tidak mematuhi kehendak-kehendak keselamatan melalui sistem eAduan ST dengan menghubungi talian 03-8870 8800 atau laman web ST iaitu www.st.gov.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN