PETALING JAYA: Ibu bapa dinasihatkan agar tidak menolak tawaran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang diterima oleh anak masing-masing semata-mata kerana faktor kekangan kewangan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya bersedia memberikan sokongan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan termasuk melalui Bantuan Khas BUDI Mara.
“Jangan tolak tawaran MRSM hanya kerana faktor kemiskinan. Saya telah mengarahkan pengurusan Mara dan MRSM supaya membantu mereka yang memerlukan. Bantuan Khas BUDI Mara juga telah disediakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Asyraf Wajdi turut berkongsi pengalaman mengenai sebuah keluarga di Pasir Mas, Kelantan yang menghadapi kekangan kewangan.
“Ayah mereka tidak lagi bekerja selepas mengalami kemalangan, manakala ibu merupakan suri rumah di sebuah kampung pedalaman.
“Anak-anak mereka, seramai empat orang, baru menerima tawaran ke MRSM Jeli, namun bimbang dengan kos perbelanjaan, mereka bercadang menolak tawaran tersebut.
“Selepas mendapat makluman ini, saya segera menghubungi sahabat saya, Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Noor Hariri Mohd. Nor untuk membantu kos perbelanjaan awal. Selebihnya, Insya-Allah saya dan Mara akan membantu mereka,” katanya. – UTUSAN










