Pengusaha chalet, kem motivasi di Yan mohon bantuan kerajaan

Pengusaha chalet, kem motivasi di Yan mohon bantuan kerajaan

KEADAAN Chalet Salak Denai yang mengalami kerosakan teruk dalam kejadian kepala air di Yan, Kedah, 18 Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Seramai 14 pengusaha chalet dan kem motivasi di sini yang terlibat dalam tragedi kepala air pada 18 Ogos lalu memberi­tahu mereka mungkin terpaksa menutup operasi kerana tidak mampu untuk membiayai kos membaik pulih kerosakan yang memerlukan belanja besar.

Pengusaha chalet terlibat meng­harapkan kerajaan dapat membantu menyediakan peruntukan khas untuk membaiki kerosakan dan membeli peralatan diperlukan untuk memulakan semula operasi.

Mereka mendakwa jumlah kerugian yang ditanggung oleh kesemua pengusaha chalet dan kem motivasi tersebut dianggarkan kira-kira RM3 juta.

Pemilik Kenari Nature Park, Jaafar Man, 62, berkata, dia berharap kerajaan negeri dan kerajaan Pusat menyalurkan bantuan kewangan untuk membantu mereka memulihkan semula perniagaannya.

Malah, menurutnya, dia terpaksa menutup kem yang diusahakan sejak 21 tahun sekiranya tidak mendapat bantuan daripada kerajaan.

Katanya, kerja-kerja membaik pulih keseluruhan kem miliknya yang rosak ini mengambil masa kira-kira setahun.

“Semua peralatan dan pelbagai barangan yang digunakan untuk penganjuran kursus di kem ini rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

“Saya memerlukan bantuan segera kerana tanpa kelengkapan kursus yang sempurna tidak mungkin saya dapat beroperasi seperti biasa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Pemilik Chalet Salak Denai, Syazwan Anas Abdul Mutalib, 39, berkata, kesemua pengusaha chalet di sini perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri sekiranya untuk beroperasi semula.

Bagaimanapun, katanya me­reka tetap mengharapkan kera­jaan dapat menyediakan sejumlah peruntukan khas bagi memulihkan chalet yang rosak dalam tragedi kepala air itu.

“Kebanyakan pengusaha cha­let telah terjejas pendapatan sejak awal penularan pandemik Covid-19 pada tahun lalu dan mereka tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk membangunkan semula chalet yang rosak itu,” ujarnya.

Sementara itu, pemilik Chalet Neo Era, Abdul Nasir Md. Daud, 64, pula berkata, dia terpaksa menggunakan wang simpanan termasuk wang persaraan untuk membangunkan semula chalet yang rosak sekiraya tidak mendapat bantuan daripada kerajaan.

“Chalet saya tidak mengalami kerosakan yang serius berbanding rakan-rakan lain yang terlibat bencana kepala air, namun masih memerlukan masa untuk kerja-kerja membaik pulih kerosakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya