JEMPOL: Seorang penghantar makanan bermotosikal maut selepas terlibat nahas dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian di Kilometer 2, Jalan Bahau-Batu Kikir, dekat sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah, Superitenden Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, Muhammad Haziq Muhammad Hidhir, 19, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan di kepala.
“Siasatan awal di tempat kejadian telah dijalankan dan mendapati semasa mangsa dalam perjalanan dari arah Batu Kikir menghala ke Bahau. Apabila sampai ditempat kejadian, tiba-tiba datang sebuah kenderaan jenis Toyoya Unser dari arah bertentangan membelok masuk ke simpang sebelah kiri motosikal.
“Akibat kemalangan penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Jempol untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemandu Toyota Unser iaitu seorang lelaki berusia 72 tahun bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE










