Pengayuh beca kecewa, Melaka tangguh gelembung pelancongan

Pengayuh beca kecewa, Melaka tangguh gelembung pelancongan

SULAIMAN Abd. Wahab (kiri) dan Hararana Jeet Singh menunjukkan kad dan sijil digital vaksinasi ketika ditemui pada program penyerahan kit makanan dan cegah Covid-19 di Banda Hilir, Melaka. - FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengayuh beca di Melaka kecewa selepas kerajaan negeri menangguhkan kemasukan pelancong domestik pada 1 Oktober ini.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengayuh Beca Kota Melaka, Sulaiman Abd. Wahab berkata, pihaknya terpaksa akur dengan keputusan tersebut meskipun sudah melakukan pelbagai persiapan termasuk membaiki dan menghias beca.

Katanya, rata-rata pengayuh beca teruja selepas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan pembukaan Melaka sebagai salah satu destinasi projek rintis gelembung pelancongan selain Genting Highlands dan Pulau Tioman di Pahang.

“Saya menasihati para ahli supaya bersabar dan tunggu sehingga 15 Oktober ini. Saya faham perasaan mereka yang sudah lebih setahun tidak mengayuh untuk mencari rezeki.

“Beca sudah dicuci, hiasan sudah ditambah dan vaksinasi sudah lengkap dua dos. Berita baik ini ditunggu sekian lama tetapi tidak jadi pula. Siapa yang tidak kecewa,” katanya kepada pemberita pada program serahan kit makanan dan cegah Covid-19 di Banda Hilir, di sini semalam.

Semalam, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali memaklumkan, kerajaan negeri menangguhkan kemasukan pelancong domestik yang sepatutnya dibuka pada 1 Oktober.

Jelasnya, pintu  masuk Melaka hanya  akan dibuka setelah kadar vaksinasi negara mencapai 90 peratus.

Sementara itu, seorang pengayuh beca, Hararana Jeet Singh, 66, berkata, perasaannya bercampur baur selepas kerajaan negeri mengumumkan penangguhan kemasukan pelancong semalam.

Katanya, pelancong luar dari Kuala Lumpur, Selangor dan lain-lain menyumbang lebih 50 peratus kepada pendapatannya berbanding rakyat Melaka sekitar lima peratus sahaja.

“Buat sementara ini terpaksalah berharap kepada rakyat Melaka saja. Kalau dapat satu atau dua pelanggan pun dah okey daripada tiada langsung,” katanya yang sudah lebih 20 tahun mengayuh beca. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya