Pemandu teksi edar syabu seberat 76.43g dihukum gantung  - Utusan Malaysia

Pemandu teksi edar syabu seberat 76.43g dihukum gantung 

MOHD. Nizam Idris (dua dari kiri) dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan gantung sampai mati selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan mengedar dadah jenis syabu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pemandu teksi dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis syabu seberat 76.43 gram, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Nizam Idris, 45,  turut dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan bagi satu lagi pertuduhan memiliki dadah jenis sama seberat 4.65 gram.

Hukuman penjara tersebut diarah bermula daripada tarikh tangkap pada 18 Mac 2019.

Hakim, Nurulhuda Nur’Aini Mohamad Nor membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Mahkamah  meneliti keterangan yang diberikan dan melihat dokumen eksibit yang dikemukakan. Mahkamah memutuskan pihak pembelaan gagal untuk menimbulkan keraguan munasabah,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan pindahan pertama, tertuduh yang masih bujang didakwa dengan niat bersama telah memiliki dadah disyaki jenis syabu seberat 4.65 gram di tingkat bawah Apartmen Mesra Prima, Jalan Ikan Emas, Hulu Langat pada pukul 3.50 petang, 18 Mac 2019.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Mohd. Nizam didakwa dengan niat bersama telah mengedar dadah disyaki jenis syabu seberat 76.43 gram di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama. Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Heikal Ismail mengemukakan seramai 11 saksi manakala pihak pembelaan hanya memanggil tertuduh yang memberi keterangan secara bersumpah daripada kandang saksi.

Tertuduh diwakili peguam bela, Chen Woon Yong.

Kes tersebut pertama kali dituduh di Mahkamah Tinggi pada 1 Mac lalu.

Sementara itu, tertuduh yang memakai pakaian lokap berwarna serba putih dilihat menundukkan wajah sebaik sahaja keputusan dibacakan.

Anggota keluarganya yang menunggu di luar mahkamah dilihat menangis sebaik sahaja dimaklumkan hukuman oleh peguam bela. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya