Pemandu lolos disyaki pengedar, miliki empat rekod dadah - Utusan Malaysia

Pemandu lolos disyaki pengedar, miliki empat rekod dadah

TANGKAP layar video yang tular dalam media sosial memaparkan kenderaan Avanza suspek melawan arus ketika dikejar polis di sekitar Sabak Bernam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Pemandu Toyota Avanza yang meloloskan diri ketika dikejar polis dan melawan arus di Kilometer 72 Jalan Klang-Teluk Intan di sini, kelmarin, disyaki pengedar dadah yang memiliki empat rekod jenayah lampau.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, siasatan mendapati lelaki berusia 26 tahun dan seorang suspek yang ditahan dipercayai mengedar dadah sejak enam bulan lalu.

“Bekalan dadah itu disyaki diperoleh dari kawasan Sekinchan untuk diedarkan di sekitar Sungai Leman.

“Semakan turut mendapati pemandu Avanza berkenaan memiliki empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, polis masih giat mengesan suspek yang bebas bagi membantu siasatan.

Justeru, Chee Koon meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek supaya menyalurkannnya di mana-mana balai polis berdekatan.

Kelmarin, MPV dinaiki dua penjenayah nekad melawan arus sejauh dua kilometer ketika dikejar polis selepas melarikan diri dalam sekatan jalan raya, kira-kira pukul 6.30 petang.

Setibanya di Jalan Tali Air 6, pemandu Avanza itu memandu secara melawan arus sehingga ke Jalan Tali Air 7 dan Jalan Haji Miskan.

Pemandu berkenaan bagaimanapun meloloskan diri manakala seorang lelaki berusia 27 tahun iaitu penumpangnya ditahan untuk tindakan lanjut.

Hasil pemeriksaan ke atas beg sandang suspek menemui 19 peket mengandungi ketulan putih disyaki syabu.

Saringan air kencing terhadap suspek yang ditahan didapati positif methamphetamine dan turut memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, kejadian itu tular dalam media sosial menerusi satu video berdurasi 46 saat yang memaparkan sebuah Vanza dikejar kenderaan polis. MPV yang melawan arus itu berada di laluan paling kiri jalan raya kemudian bertindak membelok ke kiri dipercayai lokasi pusingan U. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN