Pelancongan di Wilayah Persekutuan dijangka dibuka pada fasa seterusnya   - Utusan Malaysia

Pelancongan di Wilayah Persekutuan dijangka dibuka pada fasa seterusnya  

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pelancongan di ibu negara dan Putrajaya  menjadi antara tumpuan Pusat dan Penyelarasan Covid -19 (CCMC) Wilayah Persekutuan  menjelang peralihan fasa seterusnya Program Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tindakan tersebut dibuat berdasarkan peratusan populasi penduduk dewasa di Wilayah Persekutuan yang  mencapai imuniti kelompok.

Katanya, syor pembukaan lebih banyak sektor ekonomi termasuk pelancongan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN)  kerana pembukaan sektor  berkenaan dilihat dapat memacu  ekonomi di wilayah terbabit.

“Kita mahu persiapkan warga Wilayah Persekutuan ke fasa seterusnya termasuk daripada pandemik  kepada endemik.  Kita juga kita mahu memacu ekonomi dan cadangan untuk buka sektor pelancongan antara fokus yang akan diangkat oleh jawatan kuasa ini nanti, lebih-lebih lagi ibu negara antara kawasan pelancongan utama negara.

“Malah, jumlah individu yang mendapat dos pertama suntikan vaksin Covid-19 telah hampir mencecah 200 peratus dan ini mampu dilakukan, ” katanya kepada pemberita ketika menghadiri mesyuarat CCMC, di sini hari ini.

 Berdasarkan statistik semasa Jawatankuasa Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF),  Wilayah Persekutuan mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok.

Bagi  Kuala Lumpur, sebanyak 2.7 juta individu menerima suntikan dos pertama vaksin manakala bagi individu lengkap suntikan  dua dos pula adalah sebanyak 2.1 juta. 

Putrajaya pula mencatatkan 126,656  individu (dos pertama) dan 117, 094 individu  (dos kedua).

Manakala Labuan yang kini telah beralih fasa keempat PPN mencatatkan 70, 313 individu  (dos pertama) dan 67, 818 individu  (dos kedua) telah disuntik.

 Dalam pada itu, Shahidan berkata, Inisiatif Trak Vaksin Bergerak MyMedia@Wilayah  akan diteruskan walaupun jumlah imuniti kelompok telah dicapai.

Menurutnya, ia bagi memastikan tiada penduduk warga kota yang ketinggalan daripada mendapatkan suntikan Covid-19. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN