KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah masih belum menetapkan tarikh secara rasmi untuk menubuhkan sayap parti itu di Semenanjung.
Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking berkata, pihaknya akan memaklumkan mengenai pelancaran tersebut apabila tiba masanya.
Beliau berkata, ketika ini fokus harus diberikan kepada usaha menangani pandemik Covid-19 di Sabah yang kini semakin membimbangkan.
Pada April lalu, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyatakan akan bekerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi melebarkan sayap ke Semenanjung.
Perkara itu sudah dibincangkan bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menerajui MUDA.
Kemudian pada Mei, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S. Padua menyatakan, pelancaran sayap parti itu terpaksa ditangguhkan sehingga situasi pandemik Covid-19 kembali stabil.
Sehingga kini, Warisan masih lagi merahsiakan nama-nama besar yang mungkin ‘menyarung jersi’ Warisan apabila ia dilancarkan di Semenanjung menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).