KUCHING: Peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) semalam, khususnya untuk infrastruktur digital, pendidikan dan kesihatan harus dilaksanakan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dan menaikkan tahap pendidikan di Sarawak.
Semalam perdana menteri mengumumkan peruntukan RM4.09 bilion untuk Sarawak melaksanakan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di bawah RMK12 (2021hingga 2025).
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof. Datuk Mohd. Fadzil Abdul Rahman berkata, rangsangan yang tiba tepat pada masanya itu adalah bagi menaik taraf infrastruktur pendidikan selain menyokong inisiatif ekonomi digital negeri ini.

“Peruntukan tersebut akan membantu memperhebat pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sarawak seperti yang ditekan oleh kerajaan Sarawak,” katanya.
Sarawak, menurut Mohd. Fadzil perlu melatih lebih ramai modal insan yang berkemahiran teknikal dalam usahanya menghadapi Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan mencapai visinya menjadi negeri maju.
Justeru, katanya peruntukan tersebut boleh digunakan untuk menaik taraf infrastruktur teknologi, digital dan telekomunikasi di negeri ini.
Menurutnya pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika pandemik Covid-19 tidak dapat dijayakan 100 peratus berikutan capaian internet yang lemah terutama di kawasan luar bandar.
Justeru, beliau berkata peruntukan itu akan membolehkan lebih banyak menara dan infrastruktur telekomunikasi dibina terutama di kawasan luar bandar bagi meningkatkan kelajuan Internet, sekali gus membolehkan guru dan pelajar meneruskan pembelajaran secara dalam talian.
Mengenai peruntukan bagi meneruskan projek pembinaan Hospital Unimas di Kota Samarahan yang berharga RM560 juta, Mohd Fadzil berkata, ia adalah keputusan yang baik bagi meningkatkan tahap penjagaan kesihatan di Sarawak memandangkan projek tersebut dijangka siap pada 2025.
Katanya, sambil hospital berkenaan mengandungi dua unit -unit penjagaan harian dan hospital pengajar, yang fokus hospital berkenaan adalah untuk memastikan kesejahteraan rakyat terutama di Samarahan yang padat penduduk dan kawasan sekitarnya.
Selain itu, katanya hospital pengajar itu juga berupaya yang melatih dan meningkatkan bilangan pegawai perubatan, doktor dan jururawat.- UTUSAN ONLINE