PETALING JAYA : Dewan Rakyat boleh memanggil Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bagi memberikan penjelasan ekoran kenyataannya bahawa undi percaya tidak perlu diadakan bagi menentukan keabsahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Satu kumpulan dikenali Seed Community for a Professional Parliament (SCPP) dalam satu kenyataan berkata, perkara itu selaras Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan kuasa) 1952 (Akta 347) dan Perintah Tetap Dewan Rakyat (Standing Order) yang menyatakan bahawa Dewan Rakyat boleh memanggil mana-mana individu termasuk Peguam Negara untuk memberikan jawapan dan penjelasan berkaitan kuasa, hak dan keistimewaan Parlimen.
“Pendirian Idrus terhadap sistem pentadbiran kerajaan adalah satu perkara yang tidak boleh dipertahan iaitu bahawa mornaki bersifat mutlak dan bukannya berperlembagaan sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kedudukan beliau sebagai Peguam Negara. Kekeliruan ini boleh menimbulkan halangan terhadap agenda perundangan dan tadbir urus kerajaan.
“Jadi sementara kita menunggu maklum balas Peguam Negara, kami berpandangan di bawah Akta Majlis Parlimen dan Standing Order, Dewan Rakyat boleh memanggilnya untuk memberi penjelasan sebarang persoalan berkaitan Dewan,” kata kenyataan itu semalam.
Kenyataan itu ditandatangani enam pertubuhan iaitu Bersih2.0, Bait Al-Amanah, Persatuan Pengundi Muda (UNDI18), ENGAGE, Institute for Political Reform and Democracy (REFORM) dan Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)
Sebelum ini, Idrus berkata, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan kerajaan yang dibentuk kerana berpendirian bahawa proses pemilihan telah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan teliti dan telus.
Dalam pada itu, SCPP menyifatkan kenyataan Idris sebagai tidak masuk akal apabila melanggar prinsip dan semangat sistem demokrasi negara sekali gus tindakan itu amat memalukan institusi Peguam Negara.
“Adakah beliau berpendirian yang titah Seri Paduka dikeluarkan oleh Istana Negara pada 18 Ogos adalah tidak berperlembagaan dan tidak boleh diikuti.
“Selain itu, adakah beliau menafikan prinsip demokrasi berparlimen mengikut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(4) iaitu apabila Perdana Menteri perlu mengekalkan sokongan Dewan Rakyat bagi memastikan khidmatnya berterusan sehingga akhir penggal,” ujar kenyataan itu.
SCPP kemudian menegaskan sebarang usul percaya bagi menguji tahap kepercayaan kepada Perdana Menteri dalam sidang Parlimen tiada kaitan langsung dengan pelantikan Perdana Menteri oleh Seri Paduka pada Ogos lalu. – UTUSAN ONLINE










