Paya Pelong dikenakan PKPD bermula seorang demam selesema - Utusan Malaysia

Paya Pelong dikenakan PKPD bermula seorang demam selesema

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bermula daripada seorang penduduk yang demam selesema, kini Kampung Paya Pelong, Mukim Kerdau, Temerloh, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula lusa.

Ia disebabkan kluster komuniti daripada warga tempatan yang mula bergejala pada 30 Ogos lalu sebelum disahkan positif Covid-19 namun sudah menjangkiti 25 orang hingga semalam.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, turut dilaksanakan PKPD ialah dua lokaliti di Kelantan iaitu dalam Mukim Pengkalan Kubur, Jajahan Tumpat yang melibatkan Kampung Bendang Pak Yong dan Kampung Simpangan.

“Selebihnya empat lokaliti di sekitar Sabah iaitu Kilang Fu Yee, Kalabakan; Kampung Rugading, Kota Marudu serta Kampung Warisan dan Rumah Pangsa Tanjung Aru di Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, kata beliau, satu lokaliti di negeri berkenaan yang sepatutnya ditamatkan PKPD esok, tetapi disambung lagi sehingga 28 September depan iaitu Kampung Lotong, Kota Marudu selain Kampung Temalian dalam Mukim Ulu Dong, Daerah Raub, Pahang.

Bagaimanapun, kata Rodzi, lima perkampungan di dua negeri menyaksikan PKPD berakhir serentak esok seperti dijadualkan antaranya ialah tiga lokaliti di Kelantan iaitu Kampung Lata Tual, Kampung Tok Uban dan Kampung Kubang Kerian di Lata Rek dalam Mukim Olak Jeram, Jajahan Kuala Krai.

Baki dua lagi terletak di Sabah yang sudah pun lama dikenakan PKPD sejak 18 Ogos lepas iaitu Kampung Hidayat, Batu 4, Tawau dan Kampung Penangah, Tongod, Sandakan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN