Pas tetapkan pendirian tidak perlu undi percaya terhadap Perdana Menteri - Utusan Malaysia

Pas tetapkan pendirian tidak perlu undi percaya terhadap Perdana Menteri

IDRIS Ahmad (tengah) pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Bukit Gantang. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Pas menetapkan pendirian tidak perlu usul undi percaya terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat bagi menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, tidak perlu timbul lagi isu pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri setelah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Pelantikan Perdana Menteri telah melalui akuan bersumpah, kemudiannya mesyuarat raja-raja dan setelah itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Proses pelantikan Perdana Menteri mengikut Perlembagaan Persekutuan maka Pas berpendirian tidak perlu undi percaya di Dewan Rakyat.

“Mengikut pandangan pakar adalah jelas undi percaya terhadap Perdana Menteri boleh menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Dewan orang ramai Matang Gelugor dekat sini hari ini.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam kenyataan berkata, undi percaya tidak perlu memandangkan Yang di-Pertuan Agong telah melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berhujah, undi percaya Perdana Menteri boleh menjejaskan kuasa Agong.

“Sekiranya pelantikan Perdana Menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka, ini bermakna kuasa mutlak Seri Paduka boleh diatasi oleh pihak lain,” katanya.

Kenyataan itu bagaimanapun dipertikaikan pelbagai pihak antaranya Ketua Pembangkang Perak, Dr. Abdul Aziz Bari yang menyifatkan kenyataan Idrus itu menggambarkan kekeliruan dan kecelaruan berhubung Perlembagaan khususnya mengenai proses tersebut.

Kata Abdul Aziz, ini kerana isu keabsahan atau legitimacy bukan isu undang-undang tetapi ia yang lebih bersifat politik atau asas moral kepada pelantikan dan kedudukan Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN