[PARLIMEN] Malaysia kekal kompetitif tarik pelaburan - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Malaysia kekal kompetitif tarik pelaburan

Kerajaan yakin bahawa kedudukan Malaysia yang strategik dan ekosistem yang kondusif, berkaitan pelaburan akan terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih di rantau ini.- GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Meskipun berhadapan dengan situasi pandemik Covid-19 yang mencabar, Malaysia masih kekal kompetitif dan berdaya saing dalam menarik pelaburan ke dalam negara.

Menteri Menteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan yakin kedudukan Malaysia yang strategik dan ekosistem kondusi berkaitan pelaburan terus menjadikannya sebagai destinasi pelaburan terpilih di rantau ini.

“Dalam hal ini, MITI mengulangi tekad untuk terus mengadakan libat urus dengan semua kedutaan-kedutaan asing dan dewan-dewan perniagaan asing seperti American Malaysian Chamber of Commerce (AMCHAM), The Japanese Chamber of Trade & Industry, Malaysia (JACTIM), EUROCHAM, KOCHAM dan lain-lain dalam memperkukuh hubungan perdagangan serta pelaburan dengan pelabur-pelabur asing,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya, hari ini.

Mohamed Azmin Ali

Menurut Mohamed Azmin, kerajaan terus mengambil tiga pendekatan utama  dalam mencerdaskan ekonomi negara iaitu pertama mengadakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebagai pemangkin untuk membuka semula ekonomi secara selamat dan bersistematik.

Katanya, perkembangan itu adalah landasan terbaik dalam merangsang permintaan domestik.

“Kedua, kerajaan  terus memperkukuh asas-asas ekonomi negara melalui pelaksanaan dasar-dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka, telus, serta mesra-perniagaan, atau business-friendly country.

“Ini termasuk usaha-usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan bagi meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP),” katanya.

Antara lain, beliau turut menjelaskan yang Malaysia akan terus menyasarkan pelaburan berkualiti tinggi, berorientasikan teknologi termaju, berpandukan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang turut memberi fokus kepada kelestarian jangka masa panjang.

Ia akan memberi penekanan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (Environment, Social and Governance – ESG). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN