[PARLIMEN] Kerajaan, AG mula bincang isu akta antilompat parti - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Kerajaan, AG mula bincang isu akta antilompat parti

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah mula berbincang dengan Jabatan Peguam Negara berhubung penggubalan Akta Antilompat Parti.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Peguam Negara (AG) juga sudah mendapat arahan untuk meneliti kebolehlaksanaan undang-undang tersebut.

“Usul (berkenaan lompat parti) baru masuk yang dibawa oleh Yang Berhormat Pengerang (Datuk Azalina Othman Said) dan AG telah mendapat arahan supaya membuat gubalan melihat keperluan negara ini.

“Jadi usul sudah dinaikkan dalam Parlimen dan kerajaan telah mengambil kira untuk juga melihat sama ada mengikut usul itu dan kita dah kaji semua undang-undang dan kes dahulu dan kita tahu apa perlu kita buat.

“Tapi apa maknanya lompat itu belum lagi didefinisi, banyak kompleksiti dan kerajaan akan ambil tindakan,” katanya ketika sesi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau bagaimanapun akan mempertimbang cadangan RSN Rayer (PH-Jelutong) sama ada tindakan lompat parti wajar diletakkan sebagai satu kesalahan jenayah.

“Apabila rang undang-undang disebarkan kepada ahli-ahli Parlimen, kita akan baca satu persatu, saya tidak akan bulldoze (langgar) mana mana rang undang-undang kepada Parlimen. Kita bincang dulu, kita lihat pendapat setiap orang.

“Pendirian kerajaan adalah kita akan wujudkan undang-undang ini. Sama ada ia akan jadi satu jenayah akan kita lihat dalam draf undang-undang keluar nanti, baru kita persoal nanti. Usul pun baru masuk, saya baru bincang dengan AG, kerajaan pun baru mula tiga minggu, jadi tolonglah sikit. Proses undang undang ini bukan tiga hari, bukan tiga minggu, ia mengambil masa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN