IPOH: Pulau Pangkor belum memperoleh kebenaran untuk menjadi sebagai salah satu destinasi pelancongan bebas Covid-19 atau gelembung hijau pelancongan seperti Pulau Langkawi.
Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, ini disebabkan beberapa kriteria yang belum dipenuhi terutamanya melibatkan proses vaksinasi di pulau berkenaan.
Menurutnya, walaupun Pulau Pangkor hampir mencapai bilangan 100 peratus vaksinasi, ia masih belum mencukupi untuk mencapai imuniti berkelompok atau Herd Immunity.
“Kita baru berbincang di dalam Majlis Pelancongan Perak yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad, semalam.
“Pada waktu ini, Pulau Pangkor masih belum mendapat kebenaran untuk dijadikan sebagai Covid-19 Free Destination memandangkan ada lagi beberapa kriteria yang masih belum dipenuhi dari segi bilangan vaksinasi.
“Jadi, kita akan lihat sama ada perkara ini boleh dicapai pada hujung bulan September ini untuk dipertimbangkan oleh pihak kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar Simposium Muzik Ipoh: Nusantara secara maya hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai simposium berkenaan, Nolee Ashilin berkata, penganjuran program berkenaan diadakan bagi membuka ruang kepada pengkaji dan peminat irama muzik Nusantara untuk berbincang mengenai perkembangan genre muzik ini.
“Melalui simposium ini, kita akan dapat mengumpul pelbagai maklumat dan fakta untuk merungkai segala persoalan yang timbul mengenai muzik yang berkait rapat dengan elemen nusantara ini.
“Jika tahun lepas dengan tema Rock Kapak kita berjaya menarik khalayak seramai 150,000 orang, kali ini kita harap jumlahnya dua kali ganda,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah PORT berkata, penganjuran simposium kali ini bukan sahaja melibatkan tokoh karyawan dari dalam negara tetapi turut disertai oleh karyawan dari Indonesia. – UTUSAN NOLEE ASHILIN MOHAMMED RADZI