Operasi feri Kuala Kedah ditutup esok - Utusan Malaysia

Operasi feri Kuala Kedah ditutup esok

OPERASI feri di Terminal Kuala Kedah, Alor Setar ditutup bermula esok sehingga 19 September ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Operasi feri di Terminal Kuala Kedah di sini akan ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu bermula esok sehingga 19 September ini.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, penumpang yang membeli tiket bagi perjalanan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi sepanjang tempoh itu dibenarkan membuat tuntutan bayaran balik harga tiket melalui e-mel seperti tercatat pada pas pelepasan bagi pembelian dalam talian.

“Selain itu mereka juga boleh membuat tuntutan bayaran balik di kaunter bagi belian di kaunter atau menukar perjalanan keluar masuk melalui Terminal Kuala Perlis yang akan dibuka mulai esok,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menyentuh tentang pembukaan semula Langkawi bagi gelembung pelancongan pada 16 September ini, katanya, tempahan tiket feri masih belum dibuka.

“Kita masih menantikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berwajib,” katanya.

Berikutan penutupan terminal feri di Kuala Kedah itu, katanya, penumpang yang ingin keluar masuk Langkawi boleh menggunakan perkhidmatan feri di Kuala Perlis, Perlis mulai esok dengan kekerapan satu perjalanan sehari.

“Jadual perjalanan feri itu adalah dari Langkawi ke Kuala Perlis pada pukul 11 pagi dan dari Kuala Perlis ke Langkawi pada pukul 1 petang setiap hari sehingga 16 September ini.

“Kekerapan perjalanan feri itu akan ditambah jika mendapat permintaan.

“Langkah ini dilakukan ekoran PKPD di Kuala Kedah bermula esok sehingga 16 September ini selain menyedari keperluan orang ramai. Sebelum ini hanya perkhidmatan feri Ro-ro di Kuala Perlis beroperasi,” katanya.

Jelasnya, susulan pembukaan terminal feri di Kuala Perlis itu, operator melaksanakan SOP yang ketat bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19.

“Jumlah kapasiti penumpang pada satu-satu masa hanya 50 peratus dibenarkan daripada jumlah keseluruhan tempat duduk dalam feri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN