Nur Qaira tidak perlu sewa mesin oksigen lagi - Utusan Malaysia

Nur Qaira tidak perlu sewa mesin oksigen lagi

RASMAN Ithnain (kanan) menyerahkan sumbangan wang tunai kepada Mohd. Suhaimi Jasmin ketika menziarahi keluarga tersebut di Taman Sinar Sedili, Tanjung Sedili di Kota Tinggi, Johor. -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: “Syukur Alhamdulillah berkat bantuan ramai pihak kami tak perlu lagi menyewa mesin oksigen untuk Nur Qaira Qalisha,” kata Mohd. Suhaimi Jasmin, 25, bapa kepada bayi yang mengalami masalah pernafasan.

Mohd. Suhaimi berkata, dia dan isteri, Asfanizan Othman, 33, amat lega kerana kos bagi menyewa mesin dan tong oksigen yang disediakan sebelum ini boleh digunakan untuk membeli keperluan Nur Qaira yang kini berusia enam bulan.

Nur Qaira bergantung hidup dengan mesin oksigen untuk bernafas ekoran masalah pernafasan sempit yang dialami sejak lahir.

“Semua bantuan diterima selepas cerita berkenaan Nur Qaira disiarkan Utusan Malaysia termasuk seorang hamba Allah dari Kluang yang telah memberi sumbangan dengan membelikan mesin tersebut.

“Kos membeli tong oksigen pula dibiayai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain yang memberikan bantuan wang tunai. Alhamdulillah tatkala saya tidak dapat bekerja mujur ramai yang tampil membantu anak.

“Dapatlah saya gunakan duit menyewa mesin dan tong oksigen untuk kos ke hospital dan membeli barang keperluan anak,” katanya selepas menerima kunjungan Rasman di Taman Sinar Sedili, Tanjung Sedili di sini.

Tambah Mohd. Suhaimi, anaknya juga akan berjumpa pakar bedah kanak-kanak pada 24 September ini bagi memeriksa keadaannya untuk mengetahui sama ada boleh menjalani pembedahan untuk saluran pernafasan.

Selain masalah saluran sempit, Nur Qaira turut mengalami usus terkeluar selain kini menggunakan saluran tiub untuk menyusu.

Terdahulu, akhbar ini pernah menyiarkan berita berkenaan pasangan suami isteri yang terus diuji apabila nyawa bayi mereka kini terpaksa bergantung dengan mesin oksigen yang perlu dipakai 24 jam sehari.

Mohd. Suhaimi tidak mampu untuk membeli mesin oksigen yang berharga ribuan ringgit sehingga dia terpaksa menyewa dan perlu membayar secara bulanan untuk kegunaan anak sulungnya itu.

Bagi kos sewaan mesin oksigen serta tong oksigen sebanyak RM700 dikenakan untuk tempoh dua bulan dan tidak termasuk kos susu, lampin pakai buang, ubat-ubatan dan lain-lain yang boleh mencecah sehingga RM1,500 sebulan.

Pasangan itu juga terpaksa menyewa ambulans untuk membawa Nur Qaira menjalani rawatan di Johor Bahru kerana tidak mahu mengambil risiko menggunakan keadaan persendirian yang tidak mempunyai kelengkapan.

Dalam pada itu, Rasman berkata, diharapkan dengan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian diberikan itu sedikit sebanyak akan dapat meringankan beban pasangan berkenaan.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN