Najib tuntut Muhyiddin jelaskan dakwaan campur tangan mahkamah - Utusan Malaysia

Najib tuntut Muhyiddin jelaskan dakwaan campur tangan mahkamah

NAJIB RAZAK dan MUHYIDDIN YASSIN
NAJIB RAZAK dan MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Razak menuntut Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan dakwaan campur tangan dalam urusan mahkamah. 

Perkara itu dimaklumkan beliau dalam satu hantaran Facebooknya hari ini. 

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, tindakan itu dibuat berdasarkan jawapan rasmi peguam Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan. 

Katanya, pihaknya juga memberi tempoh sehingga esok bagi Muhyiddin menjawab secara jelas mengenai campur tangan urusan mahkamah yang pernah didakwanya. 

“Menuntut dia (Muhyiddin) jawab secara jelas jika dia yang salurkan ‘khabar angin’ berkenaan saya kepada Wan Saiful dan juga tuntut dia mengulas bila dan bagaimana saya pernah minta dia campur tangan dalam kes-kes mahkamah saya.

“Kami beri tempoh sehingga hari esok untuk dia jawab. Kita sama-sama tunggu jawapan Perdana Menteri kelapan,” katanya. 

Terdahulu, Muhyiddin dalam satu perutusan khasnya mendakwa terdapat pihak yang memintanya supaya mencampuri urusan mahkamah tanpa menyebut sebarang nama secara khusus.

Ekoran itu, 5 Ogos lepas, Wan Saiful mendakwa dalam satu hantaran di Facebook bahawa Najib meminta Muhyiddin menukar panel hakim dalam proses rayuannya. 

Bagaimanapun, pihak guaman Wan Saiful dalam satu surat balasan menyatakan bahawa dakwaan itu berdasarkan satu khabar angin. 

Menurut Najib, langkah seterusnya bakal ditentukan oleh pihaknya selepas menerima jawapan daripada Muhyiddin.

“Kamu boleh kritik dan kecam saya tetapi jangan fitnah saya lagi.

“Sebab saya telah bosan dengan fitnah-fitnah yang tak henti-henti, penggunaan propaganda media serta penyalahgunaan agensi kerajaan terhadap saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN