Terapi air bantu urus fizikal, emosi kanak-kanak istimewa

Terapi air bantu urus fizikal, emosi kanak-kanak istimewa

AIR boleh menjadi terapi yang selamat dan berkesan untuk menyokong perkembangan kanak-kanak istimewa. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AIR bukan sekadar medium permainan atau rekreasi, malah berperanan besar sebagai ruang terapi yang selamat dan berkesan untuk menyokong perkembangan kanak-kanak istimewa.

Terapi air atau hidroterapi kini semakin mendapat perhatian sebagai satu daripada intervensi sokongan penting, khususnya bagi kanak-kanak yang mengalami masalah perkembangan fizikal, sensori dan emosi.

Pengarah Pusat Kajian bagi Komuniti dan Orang Kurang Upaya, Dr. Hasrul Hosshan berkata, terapi cara kerja melalui terapi air bukan sekadar bermain di kolam, sebaliknya satu bentuk intervensi berstruktur dengan tujuan yang jelas bagi menyokong perkembangan kanak-kanak istimewa.

DR. HASRUL HOSSHAN

“Terapi air bukan bertujuan menyembuhkan sepenuhnya masalah yang dialami oleh kanak-kanak, tetapi membantu meminimumkan kesan masalah perkembangan dan meningkatkan fungsi harian mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sesuai untuk semua masalah perkembangan

Terapi air lazimnya digunakan untuk kanak-kanak berkeperluan khas seperti autisme, sindrom down, cerebral palsy, kelewatan perkembangan, gangguan sensori serta masalah pembelajaran motor.

Kanak-kanak yang menghidap penyakit jarang ditemui (rare disease) yang menjejaskan sistem saraf dan otot juga berpotensi mendapat manfaat.

“Kebanyakan kanak-kanak dengan sindrom atau penyakit tertentu akan mengalami kelewatan atau gangguan perkembangan. Persekitaran air membantu mereka bergerak dengan lebih bebas dan selamat berbanding di darat,” katanya.

Namun, tidak semua kanak-kanak sesuai menjalani terapi ini.

“Kanak-kanak yang mengalami sawan yang tidak terkawal, masalah jantung, gangguan pernafasan serius atau luka yang belum sembuh sepenuhnya perlu dinilai terlebih dahulu.

“Keselamatan adalah keutamaan. Jika kanak-kanak mempunyai risiko kesihatan tertentu, terapi air boleh mendatangkan bahaya dan tidak digalakkan,” katanya.

Keunikan terapi air terletak pada sifat air itu sendiri

Daya apungan mengurangkan tekanan terhadap sendi dan otot, manakala rintangan air membantu membina kekuatan fizikal secara semula jadi.

“Apabila kanak-kanak bergerak dalam air, badan mereka perlu melawan rintangan air. Ini membantu menguatkan otot, meningkatkan keseimbangan dan koordinasi tanpa memberi tekanan berlebihan,” katanya.

Aktiviti yang dijalankan termasuk berjalan dalam air, duduk dan bangun, latihan keseimbangan, serta permainan menggunakan bola atau peralatan teraputik yang disesuaikan dengan tahap keupayaan kanak-kanak.

Rangsangan sensori dan kesan emosi

Selain aspek fizikal, terapi air turut memberi kesan positif terhadap sistem sensori.

Kanak-kanak yang terlalu sensitif atau kurang respons terhadap rangsangan persekitaran menerima pengalaman sensori berbeza melalui sentuhan air, tekanan dan pergerakan.

“Air memberi rangsangan sensori yang lebih lembut dan konsisten. Ada kanak-kanak yang sukar disentuh di darat tetapi lebih selesa menerima rangsangan dalam air.

“Dari sudut emosi, ramai kanak-kanak menunjukkan perubahan positif selepas beberapa sesi terapi.

“Dalam air, kanak-kanak biasanya lebih tenang, yakin dan gembira. Ada yang hanya berani berkomunikasi atau mengekspresikan diri apabila berada dalam persekitaran air,” katanya.

Terapi air juga didapati membantu kanak-kanak hiperaktif dan sukar memberi tumpuan.

Rintangan air secara semula jadi mengehadkan pergerakan berlebihan dan membantu kanak-kanak mengawal diri.

“Dalam kolam, mereka tidak boleh bergerak secara agresif atau berlari sesuka hati. Ini menjadikan mereka lebih mudah fokus dan mengikuti arahan melalui aktiviti berasaskan permainan,” katanya.

Namun, perubahan tidak berlaku serta-merta.

Menurutnya, kesan terapi biasanya dapat dilihat selepas beberapa sesi yang konsisten.

“Kebiasaannya selepas lima atau enam sesi, barulah kita nampak perubahan dari segi emosi dan tingkah laku. Mereka jadi lebih tenang dan lebih sedar tentang diri sendiri,” katanya.

Setiap sesi terapi air dijalankan mengikut struktur tertentu, bermula dengan pemanasan badan, aktiviti membina keyakinan dalam air, latihan mengikut sasaran individu dan diakhiri dengan penyejukan badan.

“Terapi air mesti dijalankan oleh terapis bertauliah. Jika dilakukan oleh guru atau orang awam tanpa latihan, ia hanya aktiviti air, bukan terapi,” katanya.

Pada peringkat awal, sesi biasanya dijalankan secara individu sebelum kanak-kanak diperkenalkan kepada aktiviti berkumpulan bagi menggalakkan interaksi sosial.

Katanya, kejayaan terapi tidak wajar diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya melalui peningkatan kualiti hidup.

“Kualiti hidup bukan hanya tentang membaca atau mengira. Ia melibatkan keupayaan mengurus diri, berinteraksi dengan orang lain dan mengawal emosi,” katanya.

Dr. Hasrul turut menekankan peranan ibu bapa dalam menyokong perkembangan kanak-kanak istimewa.

“Jika tidak dapat mengikuti sesi terapi secara berkala, ibu bapa boleh membawa anak ke kolam awam dan melakukan aktiviti air secara selamat sebagai sokongan tambahan,” katanya.

Walaupun terapi air semakin dikenali, kesedaran dalam kalangan masyarakat masih rendah dan garis panduan khusus di peringkat nasional masih terhad.

“Ada ibu bapa yang tidak menyedari masalah perkembangan anak kerana perubahan berlaku secara perlahan. Guru dan terapis selalunya lebih awal mengesan tanda-tanda ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN