PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi hari ini berkata, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih berjiwa besar jika menolak jawatan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Katanya, ini kerana Muhyiddin sudah diberi peluang selama 17 bulan untuk memimpin negara menangani wabak Covid-19 namun gagal sehingga terpaksa letak jawatan.
“Kuasa seorang Perdana Menteri lebih besar daripada kuasa Pengerusi MPN. Tetapi dia gagal. Sepatutnya dia tidak terima jawatan tersebut apatah lagi kalau memintanya.
“Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin juga kata tindakan Muhyiddin itu adalah sesuatu yang wajar dicontohi oleh orang lain termasuk ahli politik kanan. Apa yang patut dicontohi? Sepatutnya bila sudah terbukti gagal dan terpaksa letak jawatan, maka janganlah ambil balik jawatan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Sebelum ini Khairil Nizam berkata, Muhyiddin membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin yang berjiwa besar apabila menerima pelantikan sebagai Pengerusi MPMN tanpa segala bentuk imbuhan.
“Bila Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) syarikat letak jawatan kerana syarikat rugi, maka apakah dia wajar dilantik semula untuk memulihkan prestasi syarikat?
“Maka wajarlah Menteri kanan termasuk yang ada jawatan taraf Menteri tidak lagi menerima jawatan Menteri kerana terpalit dengan kerajaan gagal sebelum ini.Itu baru berjiwa besar namanya,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE