Mudahkan prosedur keluar-masuk Malaysia - Khairy

Mudahkan prosedur keluar-masuk Malaysia

KHAIRY Jamaluddin (tengah) bergambar selepas merasmikan pembukaan BP Healthcare Covid-19 Health Screening di KLIA, Sepang. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Prosedur keluar atau masuk ke negara ini perlu dipermudahkan terutama di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui strategi lebih cekap, efisien serta selamat sebagai persediaan membuka semula sempadan Malaysia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, strategi yang diguna pakai di negara luar boleh dicontohi seperti mengurangkan syarat-syarat tertentu atau tidak perlu lagi membuat permohonan melalui MyTravelPass (MTP) bagi memohon kebenaran ke luar negara.

Menurut beliau, perkara ini akan dibawa dalam perbincangan Jawatankuasa Pengurusan Pandemik Covid-19 untuk meneliti semula prosedur yang boleh dipermudahkan sama ada melalui aplikasi MySejahtera termasuk mengurangkan stesen-stesen untuk semakan kemasukan di KLIA.

“Penerbangan antarabangsa akan meningkat dari semasa ke semasa, apabila melihat syarat-syarat untuk ke luar negara dapat dikurangkan.

“Sebagai contoh di United Kingdom baru-baru ini telah mengumumkan tiada lagi keperluan kuarantin bagi warga Malaysia yang lengkap vaksin jenis Pfizer dan AstraZeneca, ini akan mendorong lebih ramai lagi warga negara kita ke luar negara atas urusan tertentu,” katanya katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di pusat pemeriksaan kesihatan Covid-19 di KLIA, di sini hari ini.

Khairy berkata, KKM turut meminta Jabatan Imigresen untuk melihat balik senarai permohonan melalui MTP bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia dapat ke luar negara tanpa perlu membuat permohonan. 

Katanya, kerjasama dengan pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan dilakukan untuk melihat proses yang lebih efisien, selamat dan teratur bagi mereka yang ingin memasuki negara ini.

“Saya mendapati banyak sangat stesen yang perlu pengisian borang yang sebenarnya boleh dipermudahkan.

“Sebagai contoh hari ini sebuah penerbangan mendarat daripada Qatar dengan membawa penumpang 94 orang tanpa ada masalah kesesakan, tetapi bayangkan sekiranya kita membenarkan lebih banyak penerbangan dan dijangka berlaku kesesakan, jadi kita mahu elak masalah ini berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN