MoU kerajaan dan  PH dokong pemulihan ekonomi, KDNK - Utusan Malaysia

MoU kerajaan dan  PH dokong pemulihan ekonomi, KDNK

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) yakin persefahaman politik yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan, semalam akan mendokong asas pemulihan ekonomi serta unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 3.0 peratus hingga 4.0 peratus bagi tahun 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya yakin kestabilan politik ini juga menyumbang kepada persekitaran yang lebih stabil dan kondusif untuk perkembangan sektor pelaburan, pasaran modal dan ekonomi negara yang dipadankan dengan kelonggaran mobiliti bagi rakyat yang telah lengkap divaksinasi.

Selain itu, katanya,  ia turut dipadankan dengan pembukaan banyak lagi sektor ekonomi termasuk pelancongan berkonsepkan gelembung perjalanan sekali gus persefahaman tersebut bakal menzahirkan impak positif  kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia pada Suku Keempat 2021 dan seterusnya tahun 2022.

“Secara keseluruhannya, pelaksanaan pakej rangsangan, pembukaan semula ekonomi dan struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai telah berjaya mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 16.1 peratus bagi suku kedua 2020.

“Kerajaan dan MOF telah berkali-kali mengulangi komitmen bahawa rakyat dan perniagaan yang memerlukan bantuan akan tetap disokong sebaik mungkin dan untuk itu had siling Kumpulan Wang Covid-19 (KWC) akan ditingkatkan jika perlu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MoU ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dan PH bagi mengembalikan kestabilan politik negara di Parlimen. – IHSAN PMO

Utusan Malaysia semalam melaporkan, politik tanah air mencatat sejarah apabila julung kalinya antara Kerajaan Persekutuan dan PH memeterai MoU Tranformasi dan Kestabilan Politik bagi membentuk satu kerjasama dwi-partisan yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah.

Tengku Zafrul berkata, Kabinet juga meluluskan cadangan untuk membentangkan pindaan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) (Akta KWC), Jumaat lalu.

Katanya, ia bagi meningkatkan had siling Kumpulan Wang Covid-19 daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion dan meningkatkan had statutori hutang Kerajaan Persekutuan daripada 60 peratus kepada 65 peratus KDNK.

“Pindaan RUU tersebut akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Rakyat pada bulan Oktober ini dan ia bertujuan untu, antara lainnya, mengukuhkan sistem kesihatan awam terutama bagi membendung penularan wabak Covid-19 serta merawat pesakit; menambah baik bantuan tunai langsung kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan, terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta PKS mikro.

“Semua institusi perbankan sudah diarah mengusahakan pengecualian bayaran faedah bagi penerima moratorium pinjaman bank dengan segera. Ini melibatkan penerima moratorium dari kumpulan lima puluh peratus terbawah daripada keseluruhan rakyat Malaysia untuk sepanjang tempoh tiga bulan pada suku keempat 2021,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keberkesanan vaksin membolehkan pembukaan lebih banyak sektor-sektor ekonomi.

Seterusnya, kata beliau, melalui Bajet 2022, MOF akan berusaha mempercepat pemulihan ekonomi menerusi penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan, serta meningkatkan lagi daya tahan negara.

“Bajet 2022 juga akan menerapkan beberapa aspek penyusunan semula yang akan menyokong objektif Rancangan Malaysia Ke-12 dalam memacu pertumbuhan yang lebih lestari, mampan dan berdaya saing.

“Fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 dan semangat muafakat rentas parti yang telah tercapai diharapkan akan membawa kembali sinar kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN