MOF teliti kaedah stabilkan harga ayam - Utusan Malaysia

MOF teliti kaedah stabilkan harga ayam

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua kanan) menyerahkan set generator kepada Asuko Genius bagi projek pertanian dan penternakan berimpak tinggi di Kulai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Kementerian Kewangan (MOF) akan meneliti kaedah terbaik menstabilkan harga pasaran ayam dalam industri makanan tempatan yang sedang meningkat naik di seluruh negara ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam isu itu.

Katanya, sebarang keputusan yang dibuat perlu melihat kepada impak yang terhasil khususnya kepada golongan terlibat.

“Kerajaan sedar akan isu harga ayam yang meningkat naik, MOF bersama KPDNHEP dan MAFI akan meneliti cadangan untuk menstabilkan harga ayam di dalam industri makanan tempatan.

“Apa-apa keputusan dibuat perlu melihat dari segi impak kepada penternak dan semua pihak terlibat serta industri lain di dalam rantaian bekalan makanan khususnya impak kepada pengguna, itu keutamaan kerajaan,” katanya selepas melawat Pusat Ternakan Kelah di Asuko Genius Sdn. Bhd., di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan MOF selain MAFI bagi mencari penyelesaian jangka panjang munasabah terhadap isu harga ayam.

Tambah Tengku Zafrul, pihaknya difahamkan kenaikan harga ayam yang berlaku ketika ini adalah kerana ketidaktentuan permintaan pasaran ekoran pembukaan semula beberapa sektor ekonomi.

Menurut beliau, kenaikan harga ayam yang dilaporkan di seluruh negara ketika ini juga dijangka bersifat sementara.

“Sementara itu, pemberian subsidi kepada pengusaha dan penternak ayam akan dibincangkan terlebih dahulu dan buat waktu ini masih belum ada keputusan berhubung perkara itu. Kita akan teliti apakah sebabnya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN