KUALA TERENGGANU: Mesyuarat pertama Muafakat Nasional (MN) selepas pembentukan Kabinet baharu akan diadakan dalam masa terdekat.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tarikh khusus mesyuarat berkenaan bagaimanapun belum diputuskan lagi ketika ini.
“Sebelum ini pertemuan dengan UMNO hanya dilakukan secara dalam talian berikutan pandemik Covid-19, namun hubungan kita terus berjalan.
“Saya dan kepemimpinan tertinggi UMNO selalu berbincang dengan terbaharu sebelum pengumuman Kabinet cuma mesyuarat rasmi MN dijangka dilakukan dalam masa terdekat di pejabat MN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat lokasi paip dasar sungai Tangki Berangan berdekatan Pulau Sekati di sini hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, isu yang akan disentuh dalam mesyuarat itu termasuk soal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Kerajaan yang ada ini adalah gabungan tiga parti dan kita mahu terus kekal dalam menghadapi PRU-15,” katanya. – UTUSAN

								
											








