Menteri Besar mahu jumpa PM bincang projek di Kelantan

Menteri Besar mahu jumpa PM bincang projek di Kelantan

AHMAD YAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob merancang melakukan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

Menurut Ahmad, selain memantapkan hubungan dua hala dengan Pusat, pertemuan itu menjadi medium untuk membincangkan projek-projek di Kelantan yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Antaranya projek Jambatan Palekbang yang kita mahu ia diteruskan serta beberapa lagi perkara lain. Untuk makluman, surat rasmi kunjungan hormat telah pun dihantar semalam dan ketika ini kita sedang menunggu maklum balas Pejabat Perdana Menteri berhubung perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Program Outreach Vaksinasi Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Laut, di sini hari ini.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menerusi titah ucapan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat DUN) Kelantan minggu lalu menzahirkan harapan supaya projek infrastruktur di negeri ini disiapkan mengikut jadual.

Antaranya yang disebut baginda ialah projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa yang dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun 2024.

Turut disebut, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Central Spine Road (CSR) Kota Bharu – Kuala Krai, Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB), Lembangan Sungai Kelantan dan Lembangan Sungai Golok.

Mengulas barisan Kabinet baharu yang menyaksikan negeri ini diwakili lima menteri dan empat timbalan menteri, Ahmad berkata kesemua wakil Kelantan itu diyakini mampu menjalankan tugas dengan baik.

Katanya, kerajaan negeri turut menubuhkan jawatankuasa khas bersama wakil-wakil negeri tersebut bagi membincangkan isu-isu membabitkan pembangunan, kebajikan dan kemaslahatan rakyat di Kelantan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN