Majlis Bandaraya Ipoh beri tumpuan perangi rasuah

MBI beri tumpuan perangi rasuah

RUMAIZI Baharin (kiri) dan Mohd. Fauzi Mohamad pada pelancaran OACP MBI 2021-2025 dan Ikrar Bebas Rasuah MBI secara maya hari ini. - FOTO/IHSAN MBI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memberi tumpuan enam bidang utama dalam usaha memerangi rasuah di peringkat organisasinya menerusi Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) MBI 2021-2025.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, enam bidang tersebut ialah Tadbir Urus, Khidmat Pengurusan, Kewangan dan Perolehan, Perancangan dan Pembangunan Bandaraya, Pelesenan serta Penguatkuasaan dan Perkhidmatan.

“Kepentingan meletakkan budaya berintegriti pada tahap tertinggi bukan sesuatu yang baharu kerana ia menjadi keutamaan dalam hidup kita sepanjang masa.

“Maka adalah penting bagi anggota MBI melaksanakan segala amanah dengan sebaiknya supaya tahap kepercayaan warga Ipoh terhadap anggota MBI tidak terjejas sehingga boleh mengganggu kestabilan, keselamatan dan keharmonian bandar raya ini,” katanya.

Beliau berucap pada pelancaran OACP MBI 2021-2025 dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang disaksikan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad secara maya hari ini.

Menurut Rumaizi, MBI yakin dengan komitmen semua pihak, pelan tersebut dapat memacu organisasi tersebut melaksanakan segala proses penyampaian perkhidmatan dengan lebih sistematik, dinamik, efisien dan berintegriti.

Beliau berkata, IBR akan dilaksanakan kepada kumpulan-kumpulan berkepentingan dari semasa ke semasa sebagai tanda komitmen terhadap membanteras isu rasuah dan penyelewengan kuasa.

“Kerja-kerja ini tidak akan berhenti setakat ini kerana ianya merupakan program yang berterusan bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Fauzi berkata, OACP perlu dijadikan panduan kepada seluruh warga MBI untuk memperkukuhkan nilai jati diri daripada terjebak dengan jenayah rasuah serta pelanggaran integriti.

Menurutnya, MBI harus komited mendukung aspirasi berkenaan dan  seterusnya membangunkan pelan antirasuah ini sebagai salah satu langkah kawalan dalaman.

“OACP adalah usaha MBI untuk menangani risiko perlakuan jenayah rasuah dan pelanggaran integriti oleh warga kerjanya dan seterusnya memperkukuhkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan MBI kepada masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN