PETALING JAYA: Masyarakat Melayu boleh menerima pelbagai usaha reformasi institusi membabitkan tadbir urus kerajaan, badan parlimen dan kehakiman namun perkara tersebut bukan sebagai keutamaan mereka.
Kajian lapangan badan kajian Ilham Centre mendapati, kebanyakan orang Melayu lebih melihat agenda reformasi institusi di dalam konteks institusi ekonomi dan pendidikan.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, perkara itu dibuktikan apabila 32 peratus orang Melayu melihat ekonomi dan pendidikan perlu diberi keutamaan diikuti urus tadbir kerajaan (27 peratus), Parlimen (13 peratus), kehakiman (tujuh peratus) dan lain-lain (12 peratus).
“Ini diperkukuh dengan dapatan soalan dikemukakan membabitkan pembaharuan yang perlu diberikan keutamaan pada waktu ini iaitu merangka strategi membasmi kemiskinan dan menangani kos sara hidup rakyat iaitu 31 peratus, meningkatkan kembali ekonomi rakyat dengan 29 peratus dan memastikan janji-janji manifesto ditunaikan dan menjaga kebajikan rakyat iaitu 16 peratus.
“Selain itu, membersihkan kerajaan daripada budaya rasuah dan memulihkan indeks integriti merekodkan dapatan survei 15 peratus dan mereformasi institusi dan urus tadbir kerajaan agar berjalan mengikut lunas undang-undang pula adalah lapan peratus,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian hari ini.
Terdahulu, Hisommudin memaklumkan, kajian lapangan itu dilakukan selama dua bulan bermula 7 April sehingga 11 Jun lalu melibatkan dua metodologi utama iaitu kaji selidik secara bersemuka di lapangan dan perbincangan kumpulan berfokus (FGD).
Katanya, ia membabitkan 1,262 orang responden kajian yang dipilih secara persampelan rawak berstrata dan 93 peserta terlibat dalam FGD melibatkan 14 kumpulan
“Proses pengumpulan data kuantitatif dan kualitatif ini merangkumi empat zon utama iaitu selatan, tengah, utara dan timur di Semenanjung Malaysia dengan kaedah persampelan rawak berstrata meliputi semua jantina, peringkat umur, latar belakang ekonomi, pelbagai tahap pendidikan, julat pendapatan dan lokaliti yang berbeza manakala data kajian dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik,” jelas beliau.
Sehubungan itu, Hisommudin menegaskan mana-mana pihak yang mahu menjayakan agenda reformasi institusi, perlulah memahami nilai, budaya, bahasa, norma, demografi dan psikografi bagi menguruskan sentimen, mendapatkan kepercayaan dan sokongan orang Melayu-Muslim.
Katanya, agenda reformasi institusi ini tidak menjadi keutamaan mereka kerana apabila penerangan reformasi institusi tidak menggunakan laras bahasa yang mudah, tidak menyelami budaya, adat dan norma orang Melayu.
“Idea-idea reformasi dan pembaharuan tidak berupaya diterjemah dan dihadam dalam perspektif paling mudah hingga ke peringkat akar umbi. Selain itu, agenda berkaitan reformasi institusi biasanya dikaitkan dengan gerakan politik berbanding dengan nilai sebenar pembaharuan yang hendak dilakukan.
“Biasanya sesuatu agenda reformasi institusi ini diterima atau ditolak oleh masyarakat Melayu-Muslim atas pertimbangan politik berbanding matlamat sebenar pembaharuan yang ingin dilakukan.
“Pemasaran mengenai agenda reformasi tidak cukup berkesan. Tambahan pula diganggu dengan provokasi dan sentimen agama dan perkauman,” katanya lagi.
Menurut Hisommudin, agenda reformasi institusi dibangkitkan pelbagai pihak seolah berada pada garis yang sensitif dan boleh mencetuskan polemik berpanjangan serta mencetuskan situasi rumit jika gagal diuruskan dengan baik terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu-Muslim.
Justeru katanya, agenda pelaksanaan reformasi mesti mengambil kira keselesaan masyarakat Melayu-Muslim sebagai golongan majoriti di Malaysia meskipun pelaksanaannya dilihat baik dan murni namun ia harus diterima sebagai keputusan tuntas kaum tersebut. – UTUSAN ONLINE