PETALING JAYA: Jenama kereta mewah terkenal Itali, Maserati menetapkan tarikh 16 November ini untuk mengumumkan model kereta baharunya, Grecale.
Pengumuman dalam skala global itu akan diadakan di Milan, Itali bagi merungkai misteri rupa sebenar dan teknologi yang akan digunakan dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) itu.
Terdahulu, prototaip kereta tersebut dapat dilihat dan pemerhati automotif seluruh dunia melihat ia sebagai SUV dengan reka bentuk menarik.
Menurut Maserati, Grecale akan meneruskan tradisi jenama itu yang menamakan model keretanya dengan nama angin terkenal dari seluruh dunia.
“Semuanya bermula pada 1963 dengan model legenda, Mistral. Ia diikuti dengan Ghibli, Bora dan Khamsin, kemudiannya Levante, SUV pertama Maserati pada 2016,” katanya dalam kenyataan.
Nama Grecale diambil bersempena nama angin arah timur laut Mediterranean yang secara literalnya diterjemahkan sebagai “angin Greek”.
“Kiraan menuju penerokaan model baharu yang membawa nama angin yang mendalam, berevolusi dan unik ini akhirnya bermula.
“Kini Grecale akan membawa peranan baharu kepada jenama (Maserati) dan mengubah pengalaman pemanduan harian kepada sesuatu yang menyerlah dan luar biasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE