KOTA BHARU: UMNO perlu menjadi dominan dalam konteks menjaga kepentingan keseluruhan orang Melayu, bumiputera dan agama Islam dengan memegang peranan-peranan penting dalam kerajaan demi memenuhi tuntutan-tuntutan tersebut.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peranan tersebut sebenarnya telah dimainkan oleh kepemimpinan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, terutama oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Sebenarnya hari ini pun tanggungjawab dan amanah untuk menjaga agenda besar orang Melayu, bumiputera dan Islam diberikan kepada Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri serta pimpinan parti ini.
“Paling mudah, Kongres Ekonomi Bumiputera dipertanggungjawab kepada Presiden UMNO dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebagai institusi yang menjaga kepentingan orang Melayu serta bumiputera, diamanahkan kepada saya,” katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Pasir Mas, di sini hari ini.
Beliau berkata, sungguhpun dalam bilangan yang kecil, kepemimpinan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan tetap signifikan dan masih jelas kelihatan dalam menjaga kepentingan orang Melayu, bumiputera dan Islam.
“Dalam erti kata lain, kita (UMNO) tidak pernah lupa tanggungjawab untuk menjaga agenda besar ini walaupun sentiasa ditohmah dan dikatakan telah dicucuk hidung serta agenda Islam (dikatakan) terancam,” katanya. – UTUSAN









