Maritim Malaysia rampas 400 kilogram daun ketum bernilai RM72,000 - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia rampas 400 kilogram daun ketum bernilai RM72,000

SALAH seorang anggota menunjukkan daun ketum yang dirampas Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis seberat 400 kilogram dianggarkan bernilai RM72,000 di kawasan 0.1 batu nautika dari barat pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis merampas daun ketum seberat 400 kilogram dianggarkan bernilai RM72,000 di kawasan 0.1 batu nautika dari barat pantai Kurung Tengar di sini, hari ini.

Rampasan kira-kira pukul 6.45 pagi itu apabila anggota agensi tersebut yang melakukan rondaan mengesan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan selesai memunggah keluar muatan plastik hitam disyaki ketum daripada sebuah kereta jenis Proton Waja di pesisir pantai tersebut.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, daun itu dipercayai akan diambil oleh bot lain untuk diseludup ke negara jiran.

Katanya, bagaimanapun, sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak penguat kuasa, kedua-dua suspek tersebut telah bertindak melarikan diri dengan meninggalkan bungkusan plastik hitam itu di lokasi.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemukan 40 bungkusan plastik hitam yang mengandungi bungkusan-bungkusan kecil disyaki daun ketum dengan anggaran berat 400 kilogram bernilai RM72,000.

“Anggaran tersebut berdasarkan harga semasa ketum di Thailand yang mencecah RM180 sekilogram berbanding pasaran tempatan sekitar RM70.

“Kesemua bungkusan plastik hitam berisi daun ketum itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Tambah Mohd Shafie, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

Katanya, jika sabit kesalahan, suspek yang ditangkap boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

“Hasil siasatan juga mendapati, modus operandi penyeludupan keluar daun ketum ke negara jiran yang dilakukan suspek itu adalah sama seperti sebelum ini, iaitu menggunakan bot fiber enjin sangkut menuju ke sempadan Thailand dan dipindahkan ke bot-bot nelayan negara jiran itu di sempadan perairan.

“Di samping itu, sindiket juga dipercayai telah memaklumkan kepada bot yang akan mengambil daun ketum tersebut akan kehadiran penguat kuasa di lokasi kejadian.

“Malah, sindiket juga dipercayai sentiasa memantau pergerakan bot-bot penguat kuasa yang sentiasa melakukan rondaan ketat di kawasan sempadan negara,” katanya.

Sebagai rekod, sejak awal tahun ini, Maritim Malaysia Kuala Perlis telah merampas sebanyak 5,115 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM944,900. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya