KUALA LUMPUR: Pertikaman lidah antara Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Nik Muhammad Zawawi Salleh dengan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar ketika mengakhiri jawapan keenam pada sesi soalan lisan.
Ia bermula apabila Nik Muhammad Zawawi menjawab pertanyaan lisan kedua Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berhubung program tambahan Tahap Sara Diri (SSL) bagi bekalan beras dalam negara mencapai 75 peratus yang tidak dirancang bagi mencapai tahap 100 peratus.
Mahfuz kemudiannya bingkas bangun dan membangkitkan persoalan mengenai penanaman padi di Singapura.
“Dulu waktu dia (Nik Muhammad Zawawi) pembangkang, dia kata Singapura lebih banyak hasil padi, apa yang dia belajar dari Singapura?” soal Mahfuz.
Ia bagaimanapun mendapat respons daripada Nik Muhammad Zawawi walaupun masa menjawab sudah tamat.
“Pokok Sena, kena baca banyak sebab Singapura tidak ada sawah padi tapi syarikat-syarikat mereka menghasilkan padi di luar negara dia,” jawab Nik Muhammad Zawawi.
Pertikaman lidah itu akhirnya dileraikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon.
Pada 2019 lalu, Nik Muhammad Zawawi mengeluarkan kenyataan di Dewan Rakyat bahawa hasil padi di Indonesia dan Singapura jauh lebih tinggi daripada hasil padi yang dikeluarkan Malaysia. – UTUSAN










