MELAKA: Pembangunan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ) bukan sekadar projek tambakan biasa yang bertujuan untuk spekulasi hartanah semata-mata.
Ketika membentangkan usul Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Perbadanan Zon Ekonomi Pesisiran Pantai (Negeri Melaka) 2021, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali menjelaskan, M-WEZ bertindak sebagai pemangkin baharu ekonomi yang akan mentransformasi Melaka sebagai negeri yang berdaya saing dan berdaya huni.
Katanya, cadangan pembangunan fizikal bagi kawasan berkenaan turut memberi penekanan kepada aspek alam sekitar, mobiliti, jaringan infrastruktur dan telekomunikasi yang berkualiti serta penerapan digitalisasi dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
“Komponen pembangunan di dalam kawasan M-WEZ mencakupi pelbagai elemen yang akan membuka ruang dan potensi luas kepada kepelbagaian sektor ekonomi.
“Contohnya nukleus Perbandaran Satelit Digital yang mensasarkan komponen pembangunan Pusat Perniagaan Daerah (CBD), pelancongan dan rekreasi serta taman hiburan dan gaya hidup selaras dengan strategi mewujudkan kehidupan kondusif di dalam persekitaran yang lestari dan bandar pintar,” katanya ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini hari ini.
Kerajaan negeri menyasarkan pelaburan berimpak tinggi bernilai RM100 billion dan menyumbang kepada pertambahan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak lima peratus atau RM2 bilion setahun melalui M-WEZ.
M-WEZ dijangka menawarkan hampir 5,000 peluang pekerjaan baharu setiap tahun yang mana ia dapat meningkatkan pendapatan rakyat setempat.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, sebagai langkah permulaan untuk meletakkan M-WEZ di persada antarabangsa, kerajaan negeri telah membuat promosi menerusi platform Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
Katanya, sinergi kerjasama sedia ada di antara tiga negara akan membuka ruang bagi integrasi wilayah koridor ekonomi di bawah kerangka kerja kemudahan perdagangan dan pelaburan.
“Kejayaan M-WEZ tidak hanya terletak kepada kerajaan negeri sahaja selaku pembuat dasar sebaliknya turut mengalu-alukan kerjasama awam dan swasta serta pihak-pihak berkepentingan.
“Ini penting bagi memastikan dasar dan inisitatif yang telah dirangka tetap relevan dan dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE