PETALING JAYA: Lima individu termasuk dua warga asing ditahan dipercayai terbabit dengan kegiatan penipuan dalam talian menerusi dua serbuan di Petaling dekat sini semalam.
Kesemua suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita itu berusia 20 hingga 48 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai mula menjalankan kegiatan sejak Mac lalu dengan menyasarkan mangsa dari China.
Katanya, modus operandi sindiket dengan memperdaya mangsa bagi mendapat komisen untuk setiap tugasan yang disempurnakan.
“Dalam dua serbuan itu, kita merampas empat komputer riba, 11 telefon bimbit, dua router dan dua modem bagi membantu siasatan.
“Semua suspek direman sehingga 6 September nanti mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN